Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Wednesday, February 3, 2010

Selamatkan keluarga daripada rentung

TUMPAT- Ibu bersama dua anak yang nyenyak tidur selamat daripada rentung apabila salah seorang anak kembarnya berlari masuk ke dalam rumah mengejutkan ibu serta adik-adiknya dalam kebakaran sebuah rumah dekat kampung Talak, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, anak kembar itu, Wan Mohd Asyraf Wan Nor Zali, 22, bertindak berani dengan melulu masuk ke rumah demi nyawa ibunya, Asiah Yaakob, 50 bersama dua adiknya walau pun ketika itu api mula marak membakar dinding dan langsir di sebuah bilik tidur mereka.

Menurutnya, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana ke kedai kopi sebelah untuk bermain karom dengan kawan-kawan dan dikejutkan dengan teriakan penduduk kampung.

“Tanpa mempedulikan sesiapa, saya terus melulu masuk ke dalam rumah mengejutkan ibu yang sedang tidur dengan adik bongsu, Wan Mohd Arif di dalam bilik dan kembar saya, Wan Mohd Asyran tidur di ruang tamu sambil menelefon bomba.

“Walaupun panik, kami sempat mengambil sebaldi air untuk memadamkan kebakaran di dalam bilik tidur tersebut yang ketika itu mula membakar katil dan pakaian tetapi disebabkan api makin besar, kami akhirnya mengalah dan turun menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, sebuah kereta dan motosikal yang di pakir di anjung rumah sempat dibawa keluar sebelum bomba datang memadamkan kebakaran tersebut.

Sementara itu, Asiah ketika ditemui berkata, dia cukup panik menghadapi situasi cemas ini selepas dikejutkan Wan Mohd Asyraf tanpa sempat menyelamatkan apa-apa kerana yang difikirkan hanya nyawanya serta anak-anak.

“Saya bersyukur kerana dikejutkan Asyraf dari tidur, jika dia tidak bertindak demikian sudah tentunya saya dan dua lagi anak rentung dalam kebakaran tersebut,” katanya yang tinggal bersama anak-anak kerana suaminya, Alias Abd Rahman,50, berada di Terengganu serta empat anaknya lagi berada di luar Kelantan kerana belajar dan bekerja.

Dalam kebakaran tersebut, turut memusnahkan sebuah kedai kraf tangan milik Ayu Kraf yang terletak di hadapan rumah Asiah.

Sementara itu, pemilik kedai kopi tersebut, Che Bidah Cik Wan, 63 terpaksa dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Tumpat kerana terkejut dengan kejadian tersebut, bagaimana pun dilaporkan stabil dan dibenarkan pulang ke rumah, namun masih lagi dalam keadaan trauma.

Kedainya yang juga dijadikan tempat kediaman turut disambar api kerana berdekatan dengan rumah Asiah tetapi hanya mengalami sedikit kerosakan di bahagian dinding rumah.

Ketua Operasi dari Balai Bomba Pengkalan Kubor, Ahmad Mazdan Jusoh ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, seramai 19 anggota dengan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat dan Pengkalan Kubor dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 10.50 malam.

Katanya, anggotanya tiba di tempat kejadian jam 11.02 malam segera memadamkan kebakaran menggunakan air jentera dan tali air berdekatan, namun api yang marak menyebabkan rumah dan kedai kraf tangan terbabit gagal diselamatkan.

“Punca kejadian dan kerugian masih lagi dalam siasatan. Rumah dan sebuah kedai kraf tangan gagal diselamatkan, manakala sebuah kedai kopi sebelah turut disambar api tetapi dapat diselamatkan,” katanya.