Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Monday, January 11, 2010

Kerajaan Kelantan kemuka tuntutan baru royalti minyak


Kerajaan Kelantan telah kemukakan tuntutan royalti minyak yang baru melibatkan kawasan sempadan negeri itu dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri Datuk Husam Musa berkata sebuah pelantar, dikenali pelantar Bintang yang telah beroperasi sejak 1984, terletak bersempadan antara Kelantan dan Terengganu dan sejak itu, jumlah royalti diperoleh oleh kerajaan pusat ialah RM9.7 bilion.

Beliau memberitahu pemberita hari ini bahawa tuntutan itu berdasarkan kenyataan akhbar oleh bekas menteri besar Kelantan Tan Sri Mohamed Yaakob pada 5 Sept 1990 bahawa Kelantan sedia berkongsi dengan Terengganu berhubung penemuan sebuah telaga minyak di sempadan kedua-dua negeri.

"Kita akan cari kaedah bagi membolehkan Petronas timbang semula kedudukan beberapa telaga yang bertindih antara Kelantan dan Terengganu.

"Kita telah menyampaikan pendirian dan pandangan serta tuntutan secara rasmi kepada Petronas dan terserah kepada mereka.

"Setakat ini yang kita pasti hanya satu pelantar yang terletak di sempadan kedua-dua negeri manakala terdapat dua lagi pelantar yang masih disiasat dan dikaji sama ada mereka juga beroperasi bersempadan Kelantan-Terengganu," katanya.

Kelantan tahun lalu mengemukakan tuntutan royalti berjumlah RM2 bilion terhadap operasi carigali di perairannya kepada pusat dan berhasrat untuk mengambil tindakan mahkamah.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan, menggantikan bayaran royalti minyak, kepada kerajaan Kelantan mulai tahun ini bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Kerajaan Kelantan didapati tidak berhak mendapat royalti minyak kerana dua telaga minyak yang dipertikaikan itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan negeri itu.

Mengenai pertemuan kerajaan negeri dengan Petronas pada Jumaat lepas, Husam berkata kerajaan negeri telah menyampaikan hasrat bahawa bayaran perlu dibuat kepada kerajaan negeri serta tidak mengiktiraf pemberian royalti minyak dalam bentuk wang ehsan.

- Bernama

12 nelayan bertarung nyawa


TUMPAT - Gara-gara enjin bot rosak, 12 nelayan, (10 awak-awak, dua tekong) bersabung nyawa apabila bot mereka hanyut selama dua hari di tengah laut kira-kira 50 batu nautika dari pantai dekat sini, kelmarin.

Lebih mencemaskan 12 nelayan itu yang turun ke laut menaiki dua bot kelas A di Pengkalan Che Mas di sini terputus hubungan kerana alat komunikasi dalam bot mereka hanya boleh berhubung dalam kawasan 20 batu nautika sedangkan kedudukan mereka dekat kawasan unjam sejauh kira-kira 50 batu nautika.

Seorang tekong, Wan Ismail Wan Yusof, 65, berkata, dia bersama lima awak-awak dalam bot agak cemas apabila enjin bot rosak dengan tiba-tiba sedangkan mereka tidak dapat berhubung kerana alat komunikasi tidak berfungsi setelah melepasi jarak 20 batu nautika.

“Tiada apa yang pakcik fikirkan selain anak isteri di rumah. Kalau bot ini terus dihanyutkan ke tengah laut, mungkin pakcik akan berdepan dengan ancaman lanun laut.

“Lagi pun pakcik pernah ditahan lanun Vietnam dan pengalaman perit tersebut masih menghantui pakcik. Kami bimbang bot ini akan hanyut memasuki negara Vietnam,” katanya yang masih keletihan bertarung nyawa setelah botnya dua hari hanyut di laut.

Menurutnya, dia agak bernasib baik kerana sebuah bot lagi yang dinaiki Tekong Arifin Harun, 55, bersama awak-awaknya berada lima batu nautika darinya.

“Bot Tekong Arifin yang datang menunda bot kami untuk balik ke darat dan perjalanan kami terpaksa berdepan dengan masalah lagi apabila bot Tekong Arifin bersama awak-awak enjinnya pula meragam.

“Kami terpaksa membiarkan bot hanyut dan berserah kepada nasib semata-mata. Jika umur panjang dan Tuhan masih sayangkan kami, kami akan selamat pulang," katanya yang turun ke laut hari Rabu lepas lagi.

Bagaimana pun, nasib mereka agak baik apabila mendapat bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia setelah pemilik bot Tekong Arifin, Ismail Yaakob, 46 membuat laporan bahawa ada dua buah bot terkandas di tengah laut kerana enjinnya rosak.

Ismail berkata, dia menerima maklumat botnya rosak di tengah laut apabila dimaklumkan oleh nelayan yang pulang menangkap ikan mengatakan botnya terapung-apung dipukul ombak di tengah laut dan disyaki enjinnya rosak.

“Saya terus memaklumkan kepada Ketua Daerah Perikanan Tumpat, Manaf Mat, Agensi Penguatkuasa, Pasukan Gerakan Marin mengenai dua buah bot yang hanyut di tengah laut sehinggalah bot APPM datang membantu dan mengiringi ke dua-dua bot tersebut hingga ke kuala,” katanya.

Menurutnya, walaupun 12 nelayan itu selamat tiba di Kuala Tumpat jam 12 tengah malam hari Jumaat lagi, mereka terpaksa bermalam di laut sekali lagi kerana masalah Kuala Tumpat sempit menyebabkan bot-bot mereka tidak dapat masuk ke pengkalan dekat Kampung Tanjung Che Mas.

"Sudahlah mereka semua letih dan masih trauma dengan kejadian bot hanyut, di Kuala Tumpat pula ada masalah kuala cetek dan terpaksa bermalam di laut semalaman lagi.

"Keesokan hari (hari Sabtu) barulah mereka boleh masuk ke Kuala Besar untuk pulang ke rumah masing-masing di Tanjung Che Mas,” katanya.

Pegawai gereja terharu terima kunjungan Nik Aziz


PETALING JAYA, 10 Jan: Kesediaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat tiga gereja petang tadi menimbulkan rasa terharu pihak gereja.

Perasaan terharu itu dinyatakan oleh Pegawai Penyambut Tamu Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta dekat sini, Calvin Jacob yang juga sempat mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan itu kerana sudi mengunjungi mereka.

Menurut Calvin, Datuk Nik Abdul Aziz telah meluahkan rasa simpati di atas apa yang telah berlaku ke atas gereja itu yang dibaling dengan bom buatan sendiri pada minggu lalu.

“Saya telah mempelawa beliau masuk ke dalam gereja untuk melawat namun kerana ketika itu pengunjung gereja sedang melakukan kegiatan mingguan mereka, beliau menolak dengan baik.

“Jika cuaca tidak hujan saya bercadang untuk membawa beliau meninjau di sekeliling gereja, tetapi saya sempat maklumkan kepadanya tentang keadaan gereja yang tidak mengalami apa-apa kerosakan lantaran bom yang dilontar itu tidak meletup,” jelas Calvin lagi.

Sebelum itu, Tuan Guru telah mengunjungi Gereja St Francis Xavier di Jalan Gasing juga dekat sini untuk meninjau dan menyampaikan rasa simpatinya terhadap kejadian tidak bermoral pihak tertentu yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Gambar: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang berkata sesuatu kepada dua Penyambut Tetamu Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta, Petaling Jaya ketika lawatannya petang tadi. Calvin Jacob (dua dari kanan).

Terdahulu, sebelum ke Petaling Jaya, Nik Aziz telah ke Gereja Metro Tabernacle di Taman Melawati yang dibakar. Di situ, beliau telah memberikan sumbangan peribadi beliau kepada wakil gereja.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa mengunjungi gereja yang sama bagi melahirkan rasa simpati PAS kepada tindakan membakar gereja itu.

Sehingga kini sudah tujuh kes gereja cuba dibakar selepas Mahkamah Tinggi memutuskan akhbar Kristian The Herald boleh menggunakan perkataan Allah dalam laporannya.

PAS mengambil sikap, Kristian berhak menggunakan perkataan Allah itu kerana semua agama samawi sememangnya menggunakan Allah sebagai tuhan namun Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pro kepadanya membantah dan mula membuat kenyataan dan perhimpunan panas membantahnya.

Beberapa NGO pro Umno pula semacam mengambil sikap mengapi-apikan orang Islam dalam isu ini.

Harakahdaily.net/-