Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Friday, May 15, 2009

Siapakah hakim yang benarkan permohonan Zambry ?



KUALA LUMPUR, 15 Mei : - Hakim Dato' Ramly Mohd Ali yang membenarkan permohonan rayuan Dato' Zambry Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung status Menteri Besar Perak, pernah disebut dalam rakaman video Hakim VK Lingam yang mencetuskan kontroversi tidak lama dahulu.

Demikian pendedahan Ahli Majlis Tertinggi KeADILan Badrul Hisham tentang Hakim Mahkamah Rayuan itu yang dilantik 15 April lalu iaitu 27 hari sebelum Zambry merayu kes itu di mahkamah.

Mengikut perbualan itu kata Badrul, VK Linggam telah menyebut nama tiga orang yang sepatutnya hendak dilantik sebagai hakim.
"Mereka adalah Dato' Heliliah Mohd Yusof, Dato' Ramly Ali dan Dato Ahmad Maarof. Ketiga-tiga nama ini telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi oleh Yang Dipertuan Agung pada 1 February 2002," katanya dalam blog peribadi beliau.

Sepatutnya hakim-hakim yang dinamakan oleh Linggam ini disiasat atau diberhentikan kontrak mereka, bukannya dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan dan tidak sepatutnya mereka mendengar kes yang begitu serius dan besar seperti ini, katanya.

Beliau membangkitkan persoalan betapa mudahnya Ramly ini mendengar kes rayuan dari Zambry sedangkan Nizar terpaksa menunggu lima hari untuk berhadapan dengan tiga panel hakim.

"Kes sebesar ini seharusnya didengari oleh sebuah panel hakim yang tidak kurang dari tiga orang dan mestilah dari kalangan hakim yang tidak terpalit skandal dan mempunyai pengalaman yang lama.

"Kes ini melibatkan pemerintahan sebuah negeri yang mempunyai 1.5 juta jiwa. Ianya adalah kes yang bersangkutan dengan kepentingan awam yang amat besar.

"Malangnya, kes rayuan Zambry ini telah di dengari oleh hakim yang paling "junior" serta hakim yang sama terpalit dalam skandal VK Linggam," katanya. Harakahdaily

Kes pertama flu A(H1N1) di Malaysia


Seorang pelajar 21 tahun mangsa pertama disahkan positif dijangkiti wabak influenza A(H1N1) atau selesema babi - kes pertama di Malaysia, demikian diumumkan oleh Kementerian Kesihatan hari ini.

"Kementerian ingin memaklumkan mengenai satu kes yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan telah disahkan positif influenza A(H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan hari ini," kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

"Ia merupakan kes yang pertama influenza A(H1N1) dikesan di Malaysia."

Pelajar itu, yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada Rabu lalu, mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalam
dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

"Beliau telah diberi rawatan antivirus dan berada dalam keadaan stabil," kata Dr Mohd Ismail dalam satu kenyataan di laman web rasmi kementerian berkenaan.

Kementerian telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan termasuk penyiasatan perhubungan mangsa dengan orang lain, termasuk ahli keluarganya dan penumpang serta anak kapal penerbangan MH 091 dari Newark, USA yang tiba di lapangan terbang KLIA pada 7.15 pagi kelmarin.

Menurut kenyataan itu lagi, kementerian meminta semua klinik dan hospital swasta agar sentiasa merujuk segera kes-kes mereka yang baru kembali dari negara yang dilanda wabak tersebut dan mengalami gejala-gejala seperti demam dan salah satu daripada gejala berikut - batuk, susah bernafas, sakit badan, sakit kepala atau sakit tekak - ke hospital-hospital rujukan yang telah ditetapkan.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, selain kes di atas, Pusat Tindakan dan Persiapan Krisis (CPRC) kementerian menerima 11 lagi notifikasi kes - enam kes dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Sungai Buloh, dua di hospital Seremban dan masing-masing satu kes di hospital Ipoh, Hospital Pulau Pinang dan hospital Kota Bharu bagi
tujuan siasatan dan pemerhatian.

Sehingga 8 pagi tadi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan satu lagi negara baru terjejas dengan influenza A (H1N1) iaitu Belgium yang melibatkan satu kes menjadikan
jumlah keseluruhan negara terlibat menjadi 34 buah.

Kes terkumpul di serata dunia sebanyak 7,457 kes disahkan oleh ujian makmal dengan peningkatan sebanyak 1,378 kes berbanding dengan laporan pada hari sebelumnya, kata kementerian lagi.

Peningkatan ini dilaporkan di enam buah negara iaitu di Amerika Syarikat (946 kes), Mexico (387), Kanada (31), Panama (10), Colombia (3) dan Belgium (1).

Dua lagi kematian dilaporkan di Mexico, menjadikan keseluruhan kematian kepada 65 orang.

WHO masih lagi mengekalkan tahap amaran influenza pandemik di
Fasa 5 sejak 29 April dan tidak menyarankan sebarang tindakan sekatan perjalanan, perdagangan serta penutupan sempadan bagi
perlindungan kesihatan antarabangsa.

Kementerian Kesihatan memanggil satu sidang media khas berhubung perkara ini di Putrajaya jam 3 petang tadi.

Dalam kenyataan yang sama, Dr Mohd Ismail berkata tiada risiko mendapat jangkitan influenza A(H1N1) jika daging atau produk babi disediakan dan dimasak secara betul.

"Kementerian Kesihatan ingin menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang dengan situasi influenza A(H1N1) di negara ini.

"Kementerian dengan kerjasama semua agensi terlibat sentiasa meningkatkan pemantauan situasi influenza A(H1N1) dalam memastikan tindakan proaktif diambil bagi melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia," katanya.

Perak: Speaker lwn Speaker - Pusingan 2


Krisis politik di Perak kini beralih ke mahkamah berhubung kerusi Speaker di mana Speaker Pakatan Rakyat, V Sivakumar memohon dua perintah mahkamah berhubung penggantiannya bagi jawatan tersebut.

Dalam kenyataan tuntutannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada kira-kira jam 11.45 pagi ini, Sivakumar memohon perintah mahkamah terhadap Speaker baru yang dilantik oleh BN, Datuk R Ganesan, daripada mengganggu beliau menjalankan tugas.

Sivakumar juga memohon gantirugi terhadap tindakan kekerasan terhadapnya sewaktu sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu, di mana beliau diheret keluar dari dewan secara kekerasan oleh anggota polis atas arahan Ganesan.

Sehubungan itu, Sivakumar juga memohon perintah mahkamah terhadap Ganesan untuk menghalangnya daripada terus bertindak secara kekerasan oleh (Ganesan) dan/atau ejen atau pesuruhnya.

Jika kesemua perintah mahkamah itu berjaya diperolehi, maka Pakatan akan dapat menghalang sidang khas yang dijangka dipanggil oleh BN untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah.

Bagaimanapun, menteri besar BN, Datuk Zambry Abd Kadir kemudiannya berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menangguhkan penghakiman mahkamah tinggi itu

Rakyat hakim terbaik selesai krisis Perak

KUALA LUMPUR, 14 Mei : - Hanya rakyat yang layak menjadi hakim untuk menyelesaikan krisis politik di Perak, tegas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Hadi menegaskan PAS tetap dengan pendirian mahu Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan segera bagi membolehkan rakyat menentukan kerajaan pilihan mereka.

"Hanya rakyat yang boleh menjadi hakim dan membuat keputusan kerajaan mana yang mereka mahukan bukan mahkamah.

"Kerana itu tiada jalan lain untuk menyelesaikan krisis di Perak kecuali Dun dibubarkan.

"Jika krisis ini dibiarkan berterusan ianya akan memusnahkan lagi demokrasi di negara ini," tegas beliau kepada media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut dekat sini sebentar tadi.

Mengulas mengenai kenyataan Najib yang sedia untuk mengadakan rundingan dengan Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak, Hadi menegaskan PAS tidak akan menolak sebarang rundingan tetapi tetap berpendirian mengesa pembubaran Dun.

PAS, tegas Hadi bersedia mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan krisis politik di Perak.

Perak dilanda kemelut politik BN merampas pentadbiran Pakatan Rakyat secara haram dengan tidak meneghormati pilihan yang telah dibuat rakyat Perak selain tidak menghormati undang-undang tubuh negeri Perak.

Ekoran rampasan kuasa itu Sultan telah meminta Menteri Besar Pakatan, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya melepaskan jawatan menteri besar.

Baginda kemudiannya memperkenankan pelantikan Menteri Besar haram Dato' Seri Zambry Abd Kadir dari BN sebagai menteri besar yang baru.

Bagaimanapun pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Esoknya, Zambry mendapat perintah penangguhan penghakiman tersebut sehingga selesai rayuannya.

Semalam, Nizar pula memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah penangguhan tersebut, yang akan didengar Isnin ini. Harakahdaily.

MB minta rakyat doakan Sultan cepat sembuh



KOTA BHARU, 14 Mei :- Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta rakyat negeri ini mendoakan semoga Sultan Kelantan cepat sembuh.

Petang tadi beliau bersama beberapa anggota Exco menziarahi baginda di wad Diraja Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian.

Baginda dimasukkan ke HUSM pada kira-kira jam 3 petang dipercayai terjatuh dan serangan lelah.
"Tuanku berada dalam keadaan stabil dan saya mendoakan semoga baginda cepat sembuh. Rakyat juga dminta mendoakan kesejahteraan tuanku," katanya ketika ditemui pemberita selepas itu.

Sultan Kelantan tengahari tadi sepatutnya menghadiri satu program anjuran kerajaan di negeri di Balai Islam Lundang, namun baginda diwakili Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid. Harakahdaily.