Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Wednesday, June 24, 2009

Pilihanraya Perak Selepas Manek Urai?

Pilihanraya Perak Selepas Manek Urai?
Pilihan Raya Kecil Negeri Perak dijangka akan berlaku selepas pilihan raya kecil Dun Manik Urai, demikian kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, lapor harakahdaily.

“Saya menjangkakan pilihan raya Negeri Perak mahu atau tidak akan diadakan, sebab itu kita cadang mahu buat persiapan apa yang patut hadapi pilihan raya Perak.

Beliau melihat bertapa pentingnya kini JPP yang dikendalikan bersedia awal dengan memantapkan ahli-ahli jawatankuasa mengenai nilmu pilihan raya.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama Harakah di bangunan Parlimen baru-baru ini.

Beliau merupakan Pengarah JPP yang baharu sahaja dilantik selepas pemilihan jawatankuasa PAS Pusat pada Muktamar ke-55 yang lalu.

Menyentuh isu persiapan, ujarnya JPP akan meneliti dari segi ‘finding’ yang perlu dilakukan lebih awal agar ia tidak sekadar menjadi ‘ad hoc’ semata-mata.

Di Perak katanya pada pilihan raya umum yang lalu, PAS telah bertanding 21 kerusi dan hanya menang enam.

Namun ujar Ustaz Halim, ada beberapa kerusi lagi PAS kalah bawah 1500 undi, justeru kerusi-kerusi ini akan difokuskan.

“Kita kalah tipis dalam 10 kerusi. Jika boleh menang 6 lagi, boleh jadi 16 kerusi, di bawah 1500.

“Dalam PRK Bukit Gantang apa yang kami lihat ialah jentera di peringkat kawasan di sana tak begitu bermaya, kerja pilihan raya tidak berjalan dengan baik jika tiada bantuan negeri dan kawasan susahlah, kita kena melihat itu,” katanya.

Begitupun jika diadakan pilihan raya kecil di Perak, Ustaz Halim yakin PAS akan menang lebih kerusi berbanding sekarang.

Tetapi katanya gerak kerja perlu dicantumkan dengan politik dan strategi dengan mengemuka calon bukan Islam dan taktikal strategi dengan soal wang semua perlu disiapkan.

“Selepas Manik Urai kita akan turun di Perak,” ujarnya ringkas

HIMPUNAN 100 Ribu PAKATAN RAKYAT 30 JUN

Pakatan Rakyat akan menganjurkan Himpunan Perdana Perpaduan 100,000 rakyat pada 30 Jun nanti, demikian lapor harakahdaily.

Menurut Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, program tersebut diadakan bagi menjelaskan kekeliruan terhadap segala fitnah dan konspirasi yang ditimbulkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan tujuan untuk menghancurkan Pakatan Rakyat.

Beliau yang mewakili Sekretariat Pakatan Rakyat menyeru orang ramai hadir ke program tersebut yang akan diadakan di Stadium MPPJ, Kelana Jaya bermula pukul 9.00 malam.

“Program ini diadakan bagi menerangkan kepada orang ramai terhadap fitnah dan konspirasi yang dimainkan oleh Umno-BN yang bertujuan untuk menghancurkan Pakatan Rakyat,” jelas beliau kepada Harakah.

Satu ceramah perdana akan diadakan pada malam tersebut dimana kesemua pemimpin utama Pakatan Rakyat dijangka hadir.

Antara yang telah menyatakan persetujuan untuk hadir pada malam tersebut; Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat KeADILan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tokoh DAP Lim Kit Siang dan pemimpin-pemimpin utama ketiga-tiga parti.