Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Sunday, June 7, 2009

Jangan sekali-kali bersekongkol dengan Umno - Pemuda PAS

SHAH ALAM, 7 Jun (Hrkh) - Perwakilan Dewan Pemuda PAS Pusat, Dzulkifli Ahmad mengancam mereka yang menyertai PAS untuk mengetengahkan agenda peribadi apatah lagi untuk bersama-sama Umno-BN.

"Kita takut ada yang akan menggunakan perjuangan Islam untuk kepentingan agenda perjuangan mereka, kita mengancam golongan mereka yang melakukan tindakan sedemikian.

"Pemuda juga tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan individu yang terbabit," katanya ketika membahaskan usul mewujudkan sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat insiden rampasan kuasa di Perak.

Tegasnya, tiada istilah bekerjasama dengan Umno-BN dalam apa jua bentuk memandangkan PAS tidak memerlukan parti itu malah ia perlu dikuburkan.

"Kita adalah penentang-penentang Umno yang tegar dan tidak akan berkompromi dengan mereka.

"Jika ada pemimpin yang berbincang dengan Umno, mereka harus ingat bahawa Umnolah yang harus ditarik kepada PAS dan bukan kita yang pergi untuk berbincang dengan mereka," tegasnya.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai munafik dan najis dalam perjuangan ini.

"Tolonglah jangan menjadi seperti najis dalam perjuangan," ujarnya.

Beliau yang juga Pemuda PAS Pandan mengingatkan agar semua pihak khususnya mereka yang telah dipilih menduduki saf kepimpinan agar sentiasa menyedari bahawa tanpa sokongan daripada perwakilan di peringkat kawasan bahawa mereka tidak mungkin berada di tempat tersebut.

"Bak kata satu pepatah india yang berbunyi 'kamu hendaklah bekerja dan rajin dan jangan cemburu dengan jawatan orang lain' kerana mereka tidak mungkin dapat berada di sana tanpa sokongan daripada cawangan dan kawasan.

"Tidak mungkin mereka dapat menjadi wakil rakyat ataupun apa-apa tempat yang tinggi kerana kesemua itu bukanlah bergantung kepada kekuatan diri sendiri semata-mata," ujarnya lagi.

Oleh yang demikian, beliau menegaskan bahwa pimpinan perlu mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak mengadakan kerjasama dengan Umno-BN. - mns_

Tolak perpaduan dengan Umno, jadikan 'PAS the only choice' - Vincent

SHAH ALAM, 7 Jun (Hrkh) - Kelab Penyokong PAS (KPP) menegur pihak-pihak yang menggunakan istilah 'perpaduan' yang hanya memberikan pandangan 'negatif' bukan Islam terhadap PAS.

"Perpaduan adalah perkataan yang sering disebut-sebut, tetapi apa itu perpaduan," kata Vincent Lee ketika berucap mewakili KPP sempena Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati hari ini.

Antara sebab penubuhan Kelab Penyokong PAS adalah mewujudkan perpaduan antara kaum melalui perjuangan PAS, ini terbukti dalam PRU-12, dengan sokongan padat daripada semua kaum, tanpa kira agama, warna kulit, bahasa dan adat-resam, PAS mencapai kejayaan yang amat besar, yang tidak pernah dicatat dalam 50 tahun yang lepas," katanya.

Kejayaan itu membuktikan bahawa PAS lah satu-satu parti yang mampu menyatu-padukan semua kaum di bumi Malaysia ini, ujar Vincent.

Kejayaan kerajaan PAS di Kelantan dapat melaksanakan dasar-dasar yang benar-benar adil kepada semua, juga menyumbangkan kepada kejayaan yang disebutkan, katanya.

"Saya amat berharap di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, di mana PAS juga memainkan peranan yang penting, untuk menyakinkan rakyat dalam negeri mereka, janganlah sekali-kali melaksanakan sesuatu dasar atau menyuarakan sesuatu dengan penuh bau perkauman," katanya.

"Rundingan sulit antara PAS dan Umno juga membimbangkan para penyokong masyarakat bukan Islam. Mereka dan ahli-ahli Kelab mulai bertanya, adakah PAS mula meninggalkan mereka dan seterusnya menjadikan Umno sebagai kawan setia kepada PAS?" ujarnya

Beliau juga berharap janganlah pihak tertentu dalam PAS melakukan sesuatu yang akan menjejaskan maruah dan imej parti hingga parti kembali kepada zaman gelap-gelita.

Dengan itu, beliau berharap barisan pimpinan dan juga akar umbi parti dan ahli kelab sentiasa dapat mempastikan PAS bergerak di atas landasan dan arah yang betul.

"Kelab Penyokong PAS ingin bergerak ke depan ,dan teruskan usaha- usahanya untuk menjadikan PAS pilihan utama atau 'the only choice' bagi rakyat Malaysia," ujarnya./wann

Cadangan Kerajaan Perpaduan Bersama UMNO Karut:YAB Tok Guru Nik Aziz

SHAH ALAM: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak pembentukan kerajaan perpaduan seperti yang disyorkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno merupakan idea karut yang boleh merugikan PAS.

"Idea itu mengarut, orang lain tak tahu macam mana kami berhadapan dengan Umno di Kelantan," kata beliau semalam.

Bercakap dalam ceramah perdana sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-55 di Stadium Malawati, Nik Aziz berkata, beliau sendiri tidak faham bagaimana cadangan seumpama itu timbul sedangkan parti itu telah mengambil ketetapan untuk menyokong Pakatan Rakyat yang dianggotainya bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Saya tak faham macam mana (timbul)... kita sudah buat keputusan di Ipoh tahun lalu, dan kita menyokong Pakatan Rakyat," katanya.

Kenyataan Nik Aziz itu ternyata bercanggah dengan pandangan Abdul Hadi yang terus menaruh keyakinan bahawa cadangan pembentukan kerajaan perpaduan akan tetap diterima satu hari nanti.

Selain itu Nik Aziz turut membantah sebarang usaha sama atau rundingan bersama Umno yang bermatlamat untuk membincangkan mengenai perkongsian kuasa.

"Nak berunding untuk tubuh kerajaan tak usah, tapi nak bincang dengan Umno untuk benda lain boleh," katanya.

Sambil menyifatkan Umno sebagai samseng politik, Menteri Besar Kelantan itu turut mengingatkan supaya Umno terus dimusuhi dan dibasmi.

"Umno adakah samseng politik, kita perlu matikan mereka habis-habisan.

"Mereka ini umpama telur-telur tinggalan penjajah Inggeris dahulu yang menetas satu persatu," katanya.

USUL TERGEMPAR: Tubuhkan Suruhanjaya Bebas DiRaja siasat pengambilan secara haram kerajaan Perak

SHAH ALAM, 7 Jun (Hrkh) - Satu usul tergempar mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas Diraja siasat pengambilan secara haram kerajaan Pakatan Rakyat Perak diterima sebulat suara.

Usul yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun, Perak itu diterima untuk dibahaskan setelah menyedari tindakan Umno/BN merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak merupakan perbuatan yang biadap dan tidak menghormati suara rakyat.

Perwakilan Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik yang juga bendahari PAS Perak ketika membawakan usul tersebut menegaskan perlunya penubuhan suruhajaya tersebut bagi menyiasat perbuatan Umno/BN yang merasuah wakil rakyat bagi membolehkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

"Kami mencadangkan usul tergempar ini kerana tidak mahu lagi peristiwa yang berlaku di Perak berulang dinegeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

"Kerana itu kami mendesak supaya Suruhanjaya Bebas DiRaja perlu segera ditubuhkan bagi menyiasat perbuatan rampasan kuasa itu," tegas Dr Khairuddin.

Kerajaan tegas beliau perlu segera menubuhkan suruhanjya ini bagi membolehkan segala perbuatan tidak bermoral yang dilakukan untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak dapat didedahkan kepada umum.

Usul yang dibawakan itu disokong sepenuhnya oleh PAS Kawasan Shah Alam dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat melalui perwakilan mereka yang membahaskan usul tersebut.

Perwakilan Shah Alam, Khalid Samad yang membahaskan usul tersebut menegaskan, penubuhan suruhanjaya tersebut perlu disokong tanda penolakan terhadap Umno/BN.

Beliau juga menyeru semua perwakilan supaya tidak mudah terpedaya dengan agenda yang dimainkan Umno/BN yang cuba memerangkap dengan tawaran-tawaran yang amat menarik.

Selain Khalid, perwakilan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Dzulkifli Ahmad juga menyokong penuh usul tergempar yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun dan menolak sebarang kerjasama dengan Umno