Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Wednesday, January 13, 2010

Pemangku Sultan Kelantan Solat Hajat Bersama Rakyat

Pemangku Sultan Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra akan mengetuai satu majlis sembahyang hajat di Kota Baru malam esok untuk memohon kestabilan dan keharmonian negeri itu.

Majlis itu akan diadakan di Stadium Sultan Mohammad IV dan dipercayai sebagai sebahagian daripada usaha untuk menaikkan keyakinan rakyat terhadap istana.

“Ini biasa Tengku memang selalu adakan solat hajat, tapi kali ini ia dibuat atas permintaan rakyat,” kata Pengelola Istana Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau menambah sembahyang khas itu juga adalah untuk meminta bantuan Allah bagi mengelakkan fitnah terhadap Istana Kelantan.

Abdul Halim juga berkata rakyat Kelantan dijemput untuk mengalu-alukan ketibaan Pemangku Raja di lapangan terbang Kota Bahru dari Kuala Lumpur pada tengah hari esok.

Semalam, Pejabat Sultan Kelantan menganjurkan satu sesi taklimat untuk kakitangan kerajaan negeri dan imam masjid, bagi menjelaskan peruntukan dalam perlembagaan negeri Kelantan dan peranan Pemangku Raja semasa ketiadaaaan Sultan Ismail Petra yang kini menjalani rawatan di Singapura.

Semasa taklimat yang dihadiri kira-kira 2,000 orang itu, para hadirin diingatkan supaya tidak membuang masa membincangkan hal ehwal Istana Kelantan tanpa memahami perlembagaan.

“Akibat segelintir rakyat tidak memahami dengan mendalam mengenai undang-undang ini, ia mengundang tindakan yang tidak sepatutnya berlaku, yang memberi kesan terhadap keharmonian negeri ini,” kata beliau.

Taklimat itu turut dihadiri ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias.

Kekeliruan berkenaan status Faris timbul apabila Tengku Temenggung Tengku Muhammad Fakhry Petra cuba untuk bertindak bagi pihak Sultan, sebelum istana mengeluarkan kenyataan bahawa hanya Pemangku Raja yang berkelayakan bercakap bagi pihak istana.

Fakhry telah dikeluarkan daripada Majlis Perajaan Negeri dan kini mencabar keputusan abangnya itu.

Tengku Faris dilantik Pemangku Sultan pada Mei tahun lalu, akibat masalah kesihatan Sultan Kelantan.