Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Friday, January 29, 2010

Khalid digantung enam bulan, Hasan lepas

awatankuasa disiplin PAS memutuskan menggantung jawatan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad selama enam bulan berkuatkuasa hari ini.


Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan, Khalid didapati bersalah kerana mendedahkan maklumat sulit parti dan mengkritik pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali.

Khalid digantung daripada menjadi yang dipertua PAS Shah Alam dan anggota biro politik parti.

Manakala Hasan juga didapati bersalah mengkritik prosedur tatacara pendengaran jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (Selcat) dan pelantikan pengurus besar PKNS, Liow Siew Moi.

Bagaimanapun, jawatankuasa tersebut hanya memutuskan memberi amaran bertulis kepada Hasan.

Kedua-dua mereka dilarang membuat kenyataan yang menjejaskan PAS dan Pakatan Rakyat.

Bercakap dalam sidang media selepas dua jam mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut, Tuan Ibrahim berkata, kedua-dua keputusan tersebut dibuat berdasarkan fasal 75 perlembagaan PAS.

'Kesalahan Khalid lebih serius'

Fasal tersebut memperuntukan hukuman amaran, menggantung jawatan, menggantung keahlian atau memecat keahlian dalam parti.

Kedua-dua tokoh itu dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh 30 hari bermula hari ini, tambah Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang.


Mengulas kesalahan yang dilakukan oleh Khalid, Tuan Ibrahim menyifatkannya sebagai "lebih serius".

"Ia berdasarkan kepada pengakuannya sendiri dalam siasatan bahawa (tindakannya) memberi impak kepada parti. Perkara yang sulit (mesyuarat PAS negeri) tidak boleh didedahkan kepada umum," kata Tuan Ibrahim.

Khalid yang tidak hadir kerana berada di Arab Saudi menghantar seorang wakil bagi menerima keputusan bagi pihaknya hari ini.

Tuan Ibrahim berharap hukuman kepada kedua-dua tokoh PAS Selangor itu akan menjadi iktibar kepada ahli dan penyokong agar tidak melakukan perkara yang sama.

"Sebaliknya kita harus menumpukan gerak kerja kita untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 daripada menimbulkan polemik dalaman.

'Guna saluran dalaman'

"Sekiranya tidak berpuas hati, guna saluran dalaman parti, bukan diluar parti," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akan menghantar keputusan penghakiman jawatankuasa itu kepada kepada Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dengan segara.


Sementara itu, Dr Hasan yang hadir bersama beberapa kepimpinan PAS Selangor berkata, beliau menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.

"Ini satu proses pendidikan kepada saya dan keputusan itu tidak mencacatkan kerja-kerja saya sebagai ahli PAS, kerja-kerja di negeri sebagai exco... dan atas sifat saya sebagai ADUN Gombak Setia," katanya dalam sidang media di lobi ibu pejabat PAS.

Beliau mengharapkan keputusan tersebut dapat melonjakkan PAS Selangor untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.


Sementara itu, Khalid ketika dihubungi melalui SMS memberitahu Malaysiakini, beliau akan memutuskan sama ada perlu membuat rayuan selepas pulang daripada luar negara pada 12 Februari ini.

Thursday, January 28, 2010

Solat Hajat Serentak Seluruh Negara 28 Januari


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru ahli dan penyokong untuk melakukan Solat hajat secara serentak di seluruh negara pada esok malam 28 Januari 2010, selepas waktu Isyak.

Program ini khusus bagi memohon kepada Allah swt semoga rakyat Kelantan mendapat hak mereka dalam tuntutan royalti dan Negeri Perak mendapatkan semula Menteri Besar yang dirampas jawatannya oleh Umno-Barisan Nasional tahun lepas.

Program ini boleh diadakan dimasjid surau serta markas-markas PAS sebagai menunjukan keprihatinan kita kepada rakyat di kedua-dua negeri yang tertindas ini. PAS yakin doa-doa orang yang dizalimi akan dimakbulkan Allah dan kezaliman dapat ditumpaskan.

PAS menyakini bantuan Allah dan sesekali kita tidak akan berputus harap sehinggalah Allah memberikan kemenangan kepada rakyat yang ditindas ini.

UST IDRIS AHMAD
Ketua Penerangan PAS Pusat

ROYALTI MINYAK KELATE SEPATUTNYA LEBIH RM40 JUTA

Kerajaan PAS Kelantan mempertikaikan wang ihsan hanya sebanyak RM20 juta dan meminta kerajaan pusat menilai jumlah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata nilai yang sewajarnya diterima negeri itu, berdasarkan dengan pihak Petronas awal bulan ini, adalah sebanyak RM40 juta bukannya RM20 juta seperti diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Datuk Seri Mustapa Mohamed, semalam.

Husam yang juga Pesuruhjaya PAS II Kelantan berkata melalui perbincangannya Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Hassan Merican pada 8 Jan lalu, beliau RM40 juta itu tidak termasuk tuntutan di kawasan telaga bintang yang dengan kawasan perairan Terengganu-Kelantan.

"Pendirian kerajaan negeri tetap tidak menerima keputusan itu...kami mahu kenyataan rasmi dari Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco, di Kota Baharu hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mustapa semalam mengumumkan kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membayar sebanyak RM20 juta wang ihsan kepada Kelantan pada Mac ini yang merupakan nilai lima peratus daripada jumlah keseluruhan hasil cari gali petroleum diperolehi sejak Mei 2008.

Kelantan tahun lalu mengemukakan tuntutan royalti berjumlah RM2 bilion terhadap operasi cari gali di perairannya kepada pusat dan berhasrat untuk mengambil tindakan mahkamah.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan pusat akan memberikan wang ihsan, menggantikan bayaran royalti minyak, kepada kerajaan Kelantan mulai tahun ini bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir
pantai negeri itu.

Kerajaan Negeri Kelantan didapati tidak berhak mendapat royalti minyak kerana dua telaga minyak yang dipertikaikan itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan negeri itu.

Husam berkata kerajaan negeri akan terus memperjuangkan haknya dalam tuntutan royalti minyak itu walaupun pusat mengantikannya kepada wang ihsan.

- Bernama

Tuesday, January 26, 2010

Kemelut politik Perak menghampiri penghujungnya

Melihat kepada kenyataan rasmi Sekretariat Pakatan RakyatNegeri Perak , maka kini , desas desus mengatakan Dewan Undangan Negeri Perak akan dibubarkan adalah sangat berasas.

Bahawa MB Rakyat Perak, Dato Seri Ir. Hj. Muhammad Nizar Jamaluddin memaklumkan telah menerima surat rasmi dari Mahkamah Persekutuan, yang akan memutuskan pada 9 Februari depan kes pertikaian berhubung siapakah Menteri Besar Perak yang sah dan mahkamah akan bersidang pada jam 9.30 hari berkenaan.

Selain itu, khabar angin luas merebak bahawa DUN Perak akan dibubarkan menjelang tahun baru Cina, apabila Nizar diumumkan memenangi kes itu dengan 4:1. Nizar seperti dijanjikan jika memenangi kes itu akan mengadap Paduka Seri Sultan Perak untuk membubarkan DUN.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Zambry Kudeta telah dilihat bersama dengan Perdana Menteri dalam lawatannya ke India sebagai satu perbincangan berkenaan politik Perak serta Pengerusi SPR mengadap Sultan Perak sebagai satu petanda cukup bai bahawa DUN Perak akan dibubar dan Pilihanraya baru akan diadakan.

Krisis politik Perak yang melanda hampir setahun yang lalu masih belum reda menyebabkan kedudukan kerajaan kudeta Zambry umpama telur di hujung tanduk.Tiada apa-apa kemajuan dan pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan kudeta Zambry, berbanding dengan era pentadbiran Pakatan Rakyat dibawah DS Ir Nizar.

Himpunan 10,000 Pemuda PAS Perak pada 31 Januari di Darul Taalim, Selama, akan memperlihatkan semangat dan komitmen perjuangan. (Sila lihat banner diatas blog ini)

Dengan adanya pilihanraya ini nanti, dapatlah rakyat Perak diberikan hak mereka untuk memilih kerajaan yang mereka mahukan.Samada mahukan UBN atau Pakatan Rakyat.

Kita berharap SPR akan melaksanakan tugasnya dengan telus dan adil supaya proses PRU dapat disempurnakan dengan sebaik-baiknya.Maka dengan ini, adalah diharapkan kemelut politik Perak akan sampai ke penghujungnya dimana rakyat negeri Perak akan dapat hidup aman dan makmur dan hanyalah dengan memilih Pakatan Rakyat , jaminan tersebut akan tercapai .

Wednesday, January 13, 2010

Pemangku Sultan Kelantan Solat Hajat Bersama Rakyat

Pemangku Sultan Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra akan mengetuai satu majlis sembahyang hajat di Kota Baru malam esok untuk memohon kestabilan dan keharmonian negeri itu.

Majlis itu akan diadakan di Stadium Sultan Mohammad IV dan dipercayai sebagai sebahagian daripada usaha untuk menaikkan keyakinan rakyat terhadap istana.

“Ini biasa Tengku memang selalu adakan solat hajat, tapi kali ini ia dibuat atas permintaan rakyat,” kata Pengelola Istana Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau menambah sembahyang khas itu juga adalah untuk meminta bantuan Allah bagi mengelakkan fitnah terhadap Istana Kelantan.

Abdul Halim juga berkata rakyat Kelantan dijemput untuk mengalu-alukan ketibaan Pemangku Raja di lapangan terbang Kota Bahru dari Kuala Lumpur pada tengah hari esok.

Semalam, Pejabat Sultan Kelantan menganjurkan satu sesi taklimat untuk kakitangan kerajaan negeri dan imam masjid, bagi menjelaskan peruntukan dalam perlembagaan negeri Kelantan dan peranan Pemangku Raja semasa ketiadaaaan Sultan Ismail Petra yang kini menjalani rawatan di Singapura.

Semasa taklimat yang dihadiri kira-kira 2,000 orang itu, para hadirin diingatkan supaya tidak membuang masa membincangkan hal ehwal Istana Kelantan tanpa memahami perlembagaan.

“Akibat segelintir rakyat tidak memahami dengan mendalam mengenai undang-undang ini, ia mengundang tindakan yang tidak sepatutnya berlaku, yang memberi kesan terhadap keharmonian negeri ini,” kata beliau.

Taklimat itu turut dihadiri ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias.

Kekeliruan berkenaan status Faris timbul apabila Tengku Temenggung Tengku Muhammad Fakhry Petra cuba untuk bertindak bagi pihak Sultan, sebelum istana mengeluarkan kenyataan bahawa hanya Pemangku Raja yang berkelayakan bercakap bagi pihak istana.

Fakhry telah dikeluarkan daripada Majlis Perajaan Negeri dan kini mencabar keputusan abangnya itu.

Tengku Faris dilantik Pemangku Sultan pada Mei tahun lalu, akibat masalah kesihatan Sultan Kelantan.

Monday, January 11, 2010

Kerajaan Kelantan kemuka tuntutan baru royalti minyak


Kerajaan Kelantan telah kemukakan tuntutan royalti minyak yang baru melibatkan kawasan sempadan negeri itu dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri Datuk Husam Musa berkata sebuah pelantar, dikenali pelantar Bintang yang telah beroperasi sejak 1984, terletak bersempadan antara Kelantan dan Terengganu dan sejak itu, jumlah royalti diperoleh oleh kerajaan pusat ialah RM9.7 bilion.

Beliau memberitahu pemberita hari ini bahawa tuntutan itu berdasarkan kenyataan akhbar oleh bekas menteri besar Kelantan Tan Sri Mohamed Yaakob pada 5 Sept 1990 bahawa Kelantan sedia berkongsi dengan Terengganu berhubung penemuan sebuah telaga minyak di sempadan kedua-dua negeri.

"Kita akan cari kaedah bagi membolehkan Petronas timbang semula kedudukan beberapa telaga yang bertindih antara Kelantan dan Terengganu.

"Kita telah menyampaikan pendirian dan pandangan serta tuntutan secara rasmi kepada Petronas dan terserah kepada mereka.

"Setakat ini yang kita pasti hanya satu pelantar yang terletak di sempadan kedua-dua negeri manakala terdapat dua lagi pelantar yang masih disiasat dan dikaji sama ada mereka juga beroperasi bersempadan Kelantan-Terengganu," katanya.

Kelantan tahun lalu mengemukakan tuntutan royalti berjumlah RM2 bilion terhadap operasi carigali di perairannya kepada pusat dan berhasrat untuk mengambil tindakan mahkamah.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan, menggantikan bayaran royalti minyak, kepada kerajaan Kelantan mulai tahun ini bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Kerajaan Kelantan didapati tidak berhak mendapat royalti minyak kerana dua telaga minyak yang dipertikaikan itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan negeri itu.

Mengenai pertemuan kerajaan negeri dengan Petronas pada Jumaat lepas, Husam berkata kerajaan negeri telah menyampaikan hasrat bahawa bayaran perlu dibuat kepada kerajaan negeri serta tidak mengiktiraf pemberian royalti minyak dalam bentuk wang ehsan.

- Bernama

12 nelayan bertarung nyawa


TUMPAT - Gara-gara enjin bot rosak, 12 nelayan, (10 awak-awak, dua tekong) bersabung nyawa apabila bot mereka hanyut selama dua hari di tengah laut kira-kira 50 batu nautika dari pantai dekat sini, kelmarin.

Lebih mencemaskan 12 nelayan itu yang turun ke laut menaiki dua bot kelas A di Pengkalan Che Mas di sini terputus hubungan kerana alat komunikasi dalam bot mereka hanya boleh berhubung dalam kawasan 20 batu nautika sedangkan kedudukan mereka dekat kawasan unjam sejauh kira-kira 50 batu nautika.

Seorang tekong, Wan Ismail Wan Yusof, 65, berkata, dia bersama lima awak-awak dalam bot agak cemas apabila enjin bot rosak dengan tiba-tiba sedangkan mereka tidak dapat berhubung kerana alat komunikasi tidak berfungsi setelah melepasi jarak 20 batu nautika.

“Tiada apa yang pakcik fikirkan selain anak isteri di rumah. Kalau bot ini terus dihanyutkan ke tengah laut, mungkin pakcik akan berdepan dengan ancaman lanun laut.

“Lagi pun pakcik pernah ditahan lanun Vietnam dan pengalaman perit tersebut masih menghantui pakcik. Kami bimbang bot ini akan hanyut memasuki negara Vietnam,” katanya yang masih keletihan bertarung nyawa setelah botnya dua hari hanyut di laut.

Menurutnya, dia agak bernasib baik kerana sebuah bot lagi yang dinaiki Tekong Arifin Harun, 55, bersama awak-awaknya berada lima batu nautika darinya.

“Bot Tekong Arifin yang datang menunda bot kami untuk balik ke darat dan perjalanan kami terpaksa berdepan dengan masalah lagi apabila bot Tekong Arifin bersama awak-awak enjinnya pula meragam.

“Kami terpaksa membiarkan bot hanyut dan berserah kepada nasib semata-mata. Jika umur panjang dan Tuhan masih sayangkan kami, kami akan selamat pulang," katanya yang turun ke laut hari Rabu lepas lagi.

Bagaimana pun, nasib mereka agak baik apabila mendapat bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia setelah pemilik bot Tekong Arifin, Ismail Yaakob, 46 membuat laporan bahawa ada dua buah bot terkandas di tengah laut kerana enjinnya rosak.

Ismail berkata, dia menerima maklumat botnya rosak di tengah laut apabila dimaklumkan oleh nelayan yang pulang menangkap ikan mengatakan botnya terapung-apung dipukul ombak di tengah laut dan disyaki enjinnya rosak.

“Saya terus memaklumkan kepada Ketua Daerah Perikanan Tumpat, Manaf Mat, Agensi Penguatkuasa, Pasukan Gerakan Marin mengenai dua buah bot yang hanyut di tengah laut sehinggalah bot APPM datang membantu dan mengiringi ke dua-dua bot tersebut hingga ke kuala,” katanya.

Menurutnya, walaupun 12 nelayan itu selamat tiba di Kuala Tumpat jam 12 tengah malam hari Jumaat lagi, mereka terpaksa bermalam di laut sekali lagi kerana masalah Kuala Tumpat sempit menyebabkan bot-bot mereka tidak dapat masuk ke pengkalan dekat Kampung Tanjung Che Mas.

"Sudahlah mereka semua letih dan masih trauma dengan kejadian bot hanyut, di Kuala Tumpat pula ada masalah kuala cetek dan terpaksa bermalam di laut semalaman lagi.

"Keesokan hari (hari Sabtu) barulah mereka boleh masuk ke Kuala Besar untuk pulang ke rumah masing-masing di Tanjung Che Mas,” katanya.

Pegawai gereja terharu terima kunjungan Nik Aziz


PETALING JAYA, 10 Jan: Kesediaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat tiga gereja petang tadi menimbulkan rasa terharu pihak gereja.

Perasaan terharu itu dinyatakan oleh Pegawai Penyambut Tamu Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta dekat sini, Calvin Jacob yang juga sempat mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan itu kerana sudi mengunjungi mereka.

Menurut Calvin, Datuk Nik Abdul Aziz telah meluahkan rasa simpati di atas apa yang telah berlaku ke atas gereja itu yang dibaling dengan bom buatan sendiri pada minggu lalu.

“Saya telah mempelawa beliau masuk ke dalam gereja untuk melawat namun kerana ketika itu pengunjung gereja sedang melakukan kegiatan mingguan mereka, beliau menolak dengan baik.

“Jika cuaca tidak hujan saya bercadang untuk membawa beliau meninjau di sekeliling gereja, tetapi saya sempat maklumkan kepadanya tentang keadaan gereja yang tidak mengalami apa-apa kerosakan lantaran bom yang dilontar itu tidak meletup,” jelas Calvin lagi.

Sebelum itu, Tuan Guru telah mengunjungi Gereja St Francis Xavier di Jalan Gasing juga dekat sini untuk meninjau dan menyampaikan rasa simpatinya terhadap kejadian tidak bermoral pihak tertentu yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Gambar: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang berkata sesuatu kepada dua Penyambut Tetamu Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta, Petaling Jaya ketika lawatannya petang tadi. Calvin Jacob (dua dari kanan).

Terdahulu, sebelum ke Petaling Jaya, Nik Aziz telah ke Gereja Metro Tabernacle di Taman Melawati yang dibakar. Di situ, beliau telah memberikan sumbangan peribadi beliau kepada wakil gereja.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa mengunjungi gereja yang sama bagi melahirkan rasa simpati PAS kepada tindakan membakar gereja itu.

Sehingga kini sudah tujuh kes gereja cuba dibakar selepas Mahkamah Tinggi memutuskan akhbar Kristian The Herald boleh menggunakan perkataan Allah dalam laporannya.

PAS mengambil sikap, Kristian berhak menggunakan perkataan Allah itu kerana semua agama samawi sememangnya menggunakan Allah sebagai tuhan namun Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pro kepadanya membantah dan mula membuat kenyataan dan perhimpunan panas membantahnya.

Beberapa NGO pro Umno pula semacam mengambil sikap mengapi-apikan orang Islam dalam isu ini.

Harakahdaily.net/-

Sunday, January 10, 2010

SELAMAT HARI LAHIR YG KE 79: YAB TOK GURU



Semoga Allah Panjang Umur dan berikan kekuatan untuk menegak syiar Islam

KEPUTUSAN PERLAWANAN LIGA MALAYSIA (09/01/2010)

PIALA SUMBANGSIH 2010 :

N.Sembilan 1 - 2 Selangor


LIGA SUPER 2010 :

Terengganu 0 - 0 Kelantan

Kuala Lumpur 1 - 1 T-Team Terengganu

KL Plus FC 3 - 1 Pulau Pinang

Pahang 2 - 1 Perak


Johor 0 - 3 Kedah

Perlis 0 - 1 Johor FC

Saturday, January 9, 2010

Ceramah Royalti Petroleum Ku Li Pada 28 Januari 2010

Satu delegasi Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) telah mengadakan satu pertemuan dengan YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang dan merupakan pengasas Petronas di Kelab Golf Diraja Selangor.

Delegasi itu diketuai oleh Setiausaha GEGAR dan disertai oleh 3 orang AJK Pusat GEGAR yang lain. Pertemuan selama 3 jam itu bagi membicangkan tentang Akta Kemajuan Petronas 1974, Perjanjian Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak dengan Petronas, Persempadanan laut, JDA, CAA dll.

Pada pertemuan tersebut YBM Tengku bersetuju untuk hadir ke program (comfirm) Ceramah Royalti Petroleum yang akan diadakan pada 28 Januari 2010 (Khamis) bertempat di Dewan Besar, Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu bermula jam 7 malam dimulakan dengan program solat Maghrib, Solat Hajat dan Solat Isya berjemaah dan ceramah umum yang akan disampaikan sendiri oleh YBM Tengku.

Semua rakyat Kelantan adalah dijemput hadir beramai-ramai, tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum.

Terima kasih kepada YBM kerana sudi menerima kunjungan daripada wakil GEGAR ke rumah beliau dan sudi meluangkan masa bagi membincangkan hal0-hal berkaitan Royalti Petroleum.

Ujian Pertama " Wira Merah" 2010


KOTA BHARU - Tanggal 9 Januari ini merupakan saat ujian getir bagi pengendali Kelantan, B.Sathianathan apabila pasukannya bakal bertemu dengan pasukan jiran yang juga musuh tradisi dalam bola sepak Malaysia, Terengganu.

Perlawanan pembuka tirai bola sepak TM Liga Malaysia 2010 menjadikan ia pertemuan awal untuk dipersembahkan kepada penyokong fanatik kedua-dua pasukan di mana undian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada bulan Disember lalu menterjemahkan tidak lagi terjadi pada pertengahan saingan liga seperti mana musim lalu.

Bagi Sathia, ini adalah ujian sulung yang cukup getir akan dihadapi untuk tampil sebagai finalis Piala Malaysia musim lalu, bagaimanapun pengendali The Red Warriors itu mampu berbangga sebagai pasukan pertama yang akan bertanding pada musim ini.

”Ini adalah persembahan sulung kami untuk musim baru dan menjadi kebanggaan untuk memberi persembahan terbaik terutamanya dalam menentang musuh tradisi Terengganu.

”Bagaimanapun, kita masih lagi berada dalam saat getir kerana akan pergi ke Terengganu bersama beberapa pemain utama yang masih berada dalam kecederaan apatah lagi persiapan pra musim bersama beberapa siri perlawanan persahabatan di Kota Bharu sejak dua minggu lalu memberi keputusan sederhana,” katanya.

Pertemuan musim lalu di dalam Liga Super menyaksikan Kelantan menewaskan Terengganu 3-2 di Kota Bharu manakala aksi timbal balik di Kuala Terengganu pula berkesudahan Terengganu membalas dendam dengan kemenangan 2-0.

Bagi B.Sathia, tiada pilihan lain yang diharapkan selain mencatat keputusan positif biarpun beraksi di tempat orang dengan menaruh harapan tinggi kepada pemainnya malah lebih tinggi lagi harapan penyokong setia pasukan ini untuk melihat langkah pertama Kelantan mengutip mata.

Dengan senarai pasukan yang kuat dan mantap seperti penjaga gol nombor tiga negara, Syed Adney Syed Hussien yang dilihat hampir pasti menjadi calon utama di pintu gol Kelantan berserta Azizi Mat Rose di posisi pertahanan, pasti cepat menyesuaikan diri untuk membentuk gandingan mantap bersama Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Abd. Rosid dan Mohd Zamri Ramli.

Gandingan kapten baru Indra Putra Mahayuddin bersama bekas kapten musim lalu, Mohd Badhri Radzi yang kembali beraksi akan mengukuhkan kedudukan jentera tengah Kelantan.

Turut beraksi pada kali ini, Mohd Norfarhan Muhammad yang masih bergelut dengan kecederaan bersama pemain posisi tengah Mohd Shakir Shaari.

Pemain lain yang tidak kurang hebatnya untuk diketengahkan sebagai penyerang masih lagi dalam teka teki tetapi pilihan Sathia mungkin terarah kepada pemain veteran Hairuddin Omar dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli serta pemain muda S.Chanturu selain Norshahrul Idlan Talaha.

Beberapa lagi senarai pemain yang mampu memikat hatinya mungkin juga bintang muda, S.Subramaniam, Zairul Fitree Ishak, Wan Zaman Wan Mustapa, selain pemain-pemain berpengalaman, Che Hisamuddin Hassan, Hairuddin Omar dan Mohd Norfarhan Muhammad.

PEJUANG ISLAM BERBAJU SALIB

Friday, January 8, 2010

PAS: Serang gereja bercanggah dengan Islam

Serangan terhadap tiga gereja, satu daripadanya menyebabkan kebakaran teruk, hari ini bercanggah dengan Islam, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Tindakan yang bercanggah dengan Islam ini, hanyalah dilakukan oleh orang yang tidak faham terhadap agama mereka sendiri," katanya, mengulas insiden mengejutkan itu.

"Ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara, serta rakyat keseluruhannya perlulah senantiasa diingatkan agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak-pihak tertentu."

Serang Gereja :Kenyataan Akhbar Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat

–8 JANUARI 2010–

Kami mengutuk tindakan pihak tertentu yang menyerang 3 gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi. Serangan tersebut adalah satu perbuatan yang dikecam semua agama dan peradaban.

Perbuatan seperti itu tiada tempat dalam mana-mana negara pun di atas dunia ini. Kami percaya ianya berpunca dari politik amarah yang sempit, ditambah dengan unsur provokasi jahat yang semakin menular dan runtuhnya rasa saling hormat menghormati dalam negara kita yang tercinta ini. Setiap rakyat dalam negara ini, tanpa mengira agama, kaum, keturunan dan etnik seharusnya dapat menikmati keamanan spiritual dan fizikal mereka. Seharusnya sebarang perbezaan pendapat dan pandangan tidak terus dilebarkan. Kami yakin sebarang perselisihan dapat diselesaikan dengan menumpukan usaha untuk membawa semua pihak ke meja rundingan.

Oleh yang demikian, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat dengan tegas meminta supaya individu atau mana-mana kumpulan yang menyebarkan api kebencian dan kekerasan sebegini agar dihukum dengan setimpalnya.

YB DATO SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Ketua Umum PKR

YAB LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP

YB DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Umno terdesak!:Isu Khalimah ALLAH

Semakin sukar untuk Malaysia menjadi sabuah Negara aman damai selagi Umno terus memerintah. UMNO bila tersepit mempergunakan isu kaum dan agama di negara ini. UMNO yang ada hari ini tak sama dengan UMNO zaman Tunku Abdul Rahman dahulu yang lebih terbuka dan dihormati banyak pihak. Hari ini cara politik UMNO telah meluaskan jurang perbezaan kaum dan agama.

Jika UMNO dibiarkan terus memerintah, ia akan menyebabkan negara dan rakyat sentiasa dilagakan kerana kesempatan ini akan diambil oleh pemimpin mereka untuk mempolitikkan perbezaan kaum dan agama.


Kita tahu bukan semua ahli UMNO setuju dengan permainan politik seperti ini. Tapi kita juga tahu ada golongan dalam UMNO mahu orang Melayu mengangkat mereka menjadi wira pembela agama. Golongan ini melalui kuasa kerajaan telah melarang akhbar The Herald, yang hanya dijual di gereja-gereja Katolik saja, daripada menggunakan perkataan “Allah”, dan mereka yakin Mahkamah Rayuan akan “memperbetulkan” keputusan yang ada sekarang.

Kita mesti sentiasa waspada bila ada kumpulan menggelarkan diri mereka pembela agama dan Allah. Seperti kata Allahyarham Gus Dur, bekas presiden Indonesia dan pemimpin besar Nahdatul Ulama; Tuhan yang Maha Besar, Maha Agung dan Maha Berkuasa tidak perlu dibela, yang memerlukan pembelaan adalah manusia yang dianiayai dan ditindas.

Jadi bila ada kumpulan NGO yang dibiayai oleh UMNO ini berkumpul dan berteriak “Islam dinodai” atau “Selamatkan agama kita”, rakyat mesti berhati-hati dan perlu waspada tentang apa motif sebenar mereka.

Soal penggunaan perkataan Allah (God) atau Tuhan Allah (the Lord God) oleh orang Kristian Bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti difahami dari perspektif sejarah pra-Merdeka dan sebelum mereka menyertai Malaya untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963.

Semasa membaca doa di gereja, ramai penganut Kristian di sana tidak tahu berbahasa Inggeris; lagi pula mereka dari berbagai kaum seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Murut, Melanau, Kelabit, Kedayan dan sebagainya yang mempunyai bahasa dan dialek yang berbeza.

Jadi mereka memilih satu bahasa yang difahami semua pihak, iaitu Bahasa Melayu. Kitab Bible berbahasa Melayu yang mereka gunakan datangnya dari Indonesia. Bible mereka menggunakan perkataan Allah.

Sejak zaman-berzaman orang Islam di Sabah dan Sarawak tidak menghadapi apa-apa masalah tentang hal ini. Begitu juga orang UMNO di Semenanjung yang tak rasa sensitif. Kalau benar orang UMNO marah, mengapa isu ini tak timbul pada masa dahulu?

Mungkin kerana sebelum ini kuasa UMNO dan Barisan Nasional di Parlimen sangat kuat, maklumlah mereka ada 2/3 kerusi, iaitu boleh buat apa saja yang mereka suka. Sekarang banyak hal dengan tiba-tiba menjadi “sensitif”.

Ini kerana kedudukan politik UMNO sudah goyang. Persoalannya ialah, mengapa UMNO membenarkan nama Allah digunakan sejak sekian lama. Mengapa tidak arahkan semua doa dan percakapan dalam gereja supaya jangan guna nama Allah?

Bila orang bukan Islam diminta menyayi Ya Allah Selamatkan Sultan Kami adakah mereka melakukan kesalahan? Mengapa hanya The Herald diharamkan daripada menggunakan perkataan Allah? Sudah tentu The Herald tidak akan menggunakan perkataan itu kalau penganut dan pembacanya menggunakan perkataan lain dalam ritual sembahyang dan doa mereka.

Jadi Perdana Menteri Najib dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin kena semaklah doa orang Kristian di Sabah dan Sarawak – jika didapati mereka menggunakan perkataan Allah, mungkin tindakan keras harus diambil.

Tapi sebelum mengambil tindakan keras, kena semak juga sejarah. Saya difahamkan bahawa pada abad ke-17 sudah ada perkataan Allah untuk Tuhan dalam kamus Melayu-Latin.

Allah juga disebut dalam kitab doa Katolik yang dibawa ke Tanah Melayu pada abad ke-19. Persoalannya, jika tindakan keras diambil, adakah ia akan membantu usaha dakwah Islamiah atau mencacatkan imej Islam semata-mata kerana ada orang tertentu mahu jadi wira agama tanpa kajian yang mendalam.

Para alim ulamak seluruh dunia Islam sudah lama menerima orang dari agama lain menggunakan nama Allah sebagai nama Tuhan. Antaranya yang diguna pakai oleh umat Kristian Koptik di Mesir dan Kristian di Lubnan, Palestin, Iraq dan beberapa negara umat Islam yang lain.

Sudah tentu ulamak-ulamak UMNO juga sedar perkara ini kerana mereka sudah jauh berjalan dan banyak pengalaman. Tak kan lah ulamak UMNO yang amat tinggi ilmu agama mereka buat-buat tak faham semata-mata nak “bersihkan” Islam dari segala unsur-unsur kaum, budaya dan agama lain.
Tak kan mereka tak sedar Bahasa Melayu kita masih lagi mengekalkan Bahasa Sanskrit dari asal usul Hindu untuk Islam seperti perkataan sembahyang, puasa, syurga, neraka, dosa, pahala dan sebagainya.

Kita telah ada cukop undang undang melarang sesiapa sekali pun yang berusaha untok menarik minat orang Islam kapada agama lain.

Ini larangan yang jelas. Kepercayaan kapada ajaran agama kita yang tulin adalah benteng untok kita memberhentikan mana mana usaha untuk membawa orang Islam keluar dari akidah Islam. Kalau ini belum cukup itu bererti pegangan agama kita lemah.

Siapa yang perlu disalahkan?

http://myzaidibrahim.wordpress.com/

Kalimah Allah: Salahuddin cadang PAS adakan 'Wacana Ilmiah'

KUALA LUMPUR, 8 Jan: Demi mendepani isu kalimah 'Allah', Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mencadangkan PAS bertindak secara progresif dengan menggunakan pendekatan 'Wacana Ilmiah' dengan masyarakat Islam dan bukan Islam.

"Saya sendiri akan membawa perkara ini (Wacana Ilmiah) dalam mesyuarat PAS akan datang, pada 10 Januari ini.

"PAS perlu ambil langkah proaktif ini (dengan) meyakinkan kumpulan-kumpulan masyarakat bukan tentang (penggunaan) nama Allah menurut kita (Islam)," ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan bahawa cadangan tersebut sebenarnya selari dengan keputusan jamaah PAS seperti yang diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Beliau turut mencadangkan PAS mengadakan 'Wacana Ilmiah' dengan beberapa badan bukan kerajaan (NG0) berkaitan Islam yang terbabit memperkatakan isu kalimah 'Allah' tersebut.

Ujarnya, PAS juga dicadangkan mengadakan Wacana Ilmiah dengan Ketua Paderi Katholik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh para nabi, sahabat Rasulullah s.a.w serta cendekiawan Islam sepanjang zaman.

Dalam perkembangan yang sama, Salahuddin turut tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa pihak tertentu cuba mengambil kesempatan atas sensitiviti umat Islam dan bukan Islam disebabkan isu tersebut.

"Tak mustahil pihak tertentu ini mengambil kesempatan dengan propaganda-propaganda murahan disebabkan isu sensitif ini," jelasnya.

Ditanya tentang kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Mohd Hassan Ali melarang rakyat bukan Islam menggunakan nama Allah, beliau berharap para pemimpin PAS yang lain boleh berpegang dengan keputusan Lajnah Politik PAS sebelum ini.

"Saya berharap kita (pemimpin PAS) yang lain tetap berpegang dengan keputusan parti.