Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Tuesday, June 23, 2009

Husam, Mat Sabu terima anggota jawatankuasa pusat PAS

Dua bekas naib presiden PAS - Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu - menerima pelantikan sebagai anggota jawatankuasa PAS pusat.

Jawatankuasa tersebut yang bermesyuarat pada 11 Jun lalu bersetuju melantik Husam dan Mohamad sebagai anggota AJK dengan tugas-tugas khas perancangan dan strategi parti.

Ketika ditemui malam ini, Mohamad mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa beliau menerima pelantikan tersebut.

"Sebab itulah saya hadir mesyuarat jawatankuasa pusat malam ini," katanya.

Manakala pegawai di pejabat agung PAS di ibunegara pula mengesahkan bahawa Husam turut menghadiri mesyuarat malam ini.

Husam dan Mohamad tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden PAS dalam muktamar parti itu baru-baru ini.

Dalam pertandingan tersebut, Nasharuddin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatan berkenaan.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dikatakan telah menasihat kedua-duanya agar menerima tawaran tersebut. Malaysiakini

Tok Guru Nik Aziz tarik desakan perletakan jawatan Nasharuddin, isu panas kerajaan perpaduan tamat serta-merta!


KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Nik Mat petang tadi mengumumkan menarik balik kenyataannya yang mahu Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan ahli parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Tok Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dibaca selepas satu perjumpaan khas hampir dua jam, mulai 5 petang tadi di Pejabat Agung PAS di ibu negara.

Kenyataan penuh Tok Guru Nik Aziz bernada begini:

"Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di Pejabat Agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan prihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.

"Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.

"Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi."

Perjumpaan khas itu turut dihadiri oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ustaz Nasharuddin, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din; Naib Presiden - Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar - Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, bekas Naib Presiden, Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda, Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Nuridah Mohd Salleh.