Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Tuesday, May 12, 2009

SYUKUR ALHAMDULILAH

Syukur alhamdulilah kepada semua warga dan rakyat Perak khususnya dan Malaysia amnya yang telah sabar dan mendoakan untuk kemenangan dan keselamatan seluruh rakyat Perak. Selama 3 bulan kita dalam suasana krisis perlembagaan oleh kerana perbuatan rakus merampas hak rakyat negeri Perak pada 5 Feb. 2009 lalu.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah berkerjasama dan mendoakan kejayaan ini. Marilah kita bertenang, terus memuji kebesaran Allah SWT serta memohon keampunan dari Allah SWT.

Semua rakyat harus bertenang dan Pakatan Rakyat akan meneruskan khidmat kami membantu rakyat serta membela rakyat yang memerlukan banyak perhatian dan pertolongan dari kerajaan. Sesungguhnya kami akan meneruskan dasar serta janji demi kebaikan rakyat dan melaksanakanya di atas prinsip keadilan dan kesaksamaan.

Semua rakyat Perak beragama Islam mesti menunaikan solat sebagai tiang agama dan kembali kepada ajaran Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah kita akan banyakkan lagi program kebaikan dan membenteras kemungkaran demi berhasrat menyelamatkan bangsa, negara dan agama oleh kerana gejala sosial seperti dadah, rokok, ragut, rempit, zina, mabuk, tak sembahyang, jahil dan lain-lain.

Maka marilah semua kaum dan rakyat Perak kita ikut dan patuh kepada perlembagaan dan undang-undang tubuh serta mengikut Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Negara supaya dapat kita bangunkan balik tamaddun Islam yang telah lama tidak di beri perhatian wajar.

Sebagai Ahli Parlimen P059 Bukit Gantang pula saya mengajak seluruh warga parlimen tersebut mengemukakan segala masaalah mereka melalui pusat khidmat masyarakat yang telah saya dirikan di DUN Chagkat Jering, Kuala Sepetang dan dua pejabat di Trong.

Kepada semua kakitangan Kerajaan di semua peringkat, marilah kita laksanakan khidmat kepada rakyat dengan menganggap semua titik peluh kita sebagai amalan membantu rakyat agar mereka tidak menuntut hak mereka di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Marilah kita ambil kesempatan memberi sumbangan kepada rakyat yang cukup terhimpit akibat krisis ekonomi global kini.

Kepada semua media, marilah kita bebaskan diri kita dari belenggu fitnah dan sindrom enggan melaporkan yang benar. Kepada semua bloggers dan media kerajaan, saya pohon keampunan atas kesilapan dan ketelanjuran saya. Saya turut memaafkan serta mengampunkan kesilapan kalian.

Kepada semua pegawai dan penjawat awam, jangan lagi menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya buat kerja dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Kepada RTM FM Perak, berlaku adilah kepada saya dan Pakatan Rakyat untuk suara saya didengari oleh rakyat Perak kerana saya cuma mahu mengajak kaum saya bersolat dan berilmu. Saya bertemu dengan Menteri Penerangan ketika itu, Dato' Shabery Chik dan merayu berilah saya setengah jam seminggu untuk mengajak orang Melayu supaya patuh pada Allah dan jangan lalai. Hendaklah serius beragama. Maka berilah ini kepada saya. Namun tiada layanan darinya dan warga Perak FM di Ipoh. Tolonglah kami kerana kami difitnah dan danayai. Belalah Islam!.

Kepada semua warga tani, peladang, penternak dan nelayan, saya sayang kepada kalian semua dan akan membantu melegakan kehidupan yang terik sekarang.

Kepada semua ketua JKKK yang telah diberi surat watikah oleh saya sebagai MB tempoh hari, teruskan usaha baik tuan-tuan kerana dipilih oleh rakyat. Ini telah diperkenan oleh ke bawah duli yang teramat mulia Raja Muda semasa saya mengesyorkan usaha memilih ketua JKKK. Raja Muda cukup gemar dan berkenan dengan tindakan ini.

Saya kembali dengan hasrat memberikan hak kepada rakyat Perak pilih kerajaan yang kuat dan wibawa. Saya akan cuba sedaya upaya memohon perkenan Kebawah DYMM untuk bubarkan DUN Perak dan adakan pilihanraya seluruh negeri kita.

HIDUP RAKYAT!

ALLAHU AKBAR!



Posted by Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin

KuLi Sokong DUN Perak Dibubar



Pemimpin berpengalaman Umno menyokong tindakan menteri besar Pakatan Rakyat di Perak mengusulkan kepada istana agar membubarkan DUN bagi mengatasi kemelut politik sejak Februari.

Mengulas keputusan mahkamah memberi semula jawatan menteri besar kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Tengku Razaleigh Hamzah berkata pembubaran "satu-satunya cara" keluar daripada krisis tersebut.

"Kita berharap Sultan memperkenan untuk membubarkan DUN. Ia bukan sahaja tindakan sewajarnya, tetapi satu-satunya cara keluar daripada krisis yang membelit Perak, merosakkan keluhuran undang-undang, mencalarkan badan kehakiman, polis dan perkhidmatan awam negeri, dan mencemarkan sistem beraja di mata umum," kata bekas naib presiden Umno itu di blognya.

Di awal krisis ini, Tengku Razaleigh telah mempertikaikan tindakan rampasan kuasa BN, termasuk menggugurkan jawatan Mohammad Nizar, dengan menyifatkannya di luar proses perlembagaan.

Beliau juga telah mencadangkan pilihanraya negeri diadakan atau rakyat akan semakin meluat pada Umno.

Dalam tulisan terbarunya, bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46 berkata kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Zambry Abd Kadir lebih kurang tiga bulan "selama ini haram dan semua keputusan serta kontrak yang dibuat olehnya tanpa asas perundangan."

Tindakan kerajaan BN di Perak juga tidak sah menghalang sidang tergempar DUN pada awal Mac dan usul yang dibawa Zambry untuk menggantikan Speaker, V Sivakumar pada persidangan paling kecoh, Khamis lepas.

"Sultan, dan sistem beraja itu sendiri, menanggung malu dengan babak (politik) ini, termasuk usaha terancang oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan lagi isu menjadi perkauman dan penderhakaan.

"Tindakan seumpama ini hanya merosakkan lagi institusi yang mereka dakwa cuba mempertahankannya, dan (susulan itu) ia mencemarkan Umno dan BN," katanya.

"Isu sebenarnya adalah perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, dan sistem beraja dilindungi selagi mendukung keunggulan perlembagaan dan hasrat rakyat."

Nizar gantung tugas dua pegawai kanan termasuk SUK

IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Dr. Abdul Rahman Hashim. Sehubungan dengan itu Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Jamalludin Al Amini Ahmad dilantik untuk memangku tugas Setiausaha Kerajaan Negeri berkuat kuasa serta merta.

Itu adalah beberapa keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Exco pimpinan beliau di ibu pejabat PAS negeri, tengah malam tadi.

Petang semalam, Mohammad Nizar turut menggantung tugas Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkuat kuasa serta merta sebaik sahaja Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pada pagi esok, Mohammad Nizar berkata, beliau akan mempersembahkan permohonan untuk menghadap Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah Sultan Azlan Shah.

"Bukan menghadap, kami hanya mengemukakan permohonann untuk menghadap," katanya pada sidang media yang diadakan kira-kira pukul 12.30 malam tadi.

Mohammad Nizar berkata, beliau dan kesemua Exconya akan memulakan tugas seperti biasa pada pukul 7.15 pagi ini.

Beliau juga berkata, mesyuarat tersebut memutuskan untuk meneruskan dasar-dasar yang diputuskan oleh kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) selama tiga bulan yang boleh membawa manfaat kepada rakyat.

Selain itu katanya, V Sivakumar masih merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sah.

Katanya, Datuk R Ganesan yang dilantik oleh BN sebagai Speaker DUN adalah tidah sah kerana masih belum mengangkat sumpah.

Sehubungan itu kata beliau, apa juga kemungkinan sidang DUN tergempar yang akan dibawa BN pada pagi ini adalah tidak sah.

"Untuk mengadakannya, mereka mesti memberi notis," katanya.

Petang tadi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah.

Dengan keputusan itu, persoalan mengenai siapakah Menteri Besar yang sah - antara Nizar dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang menyebabkan negeri itu dilanda krisis politik sejak Februari lalu akhirnya terjawab.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.

Nizar ke istana, harap dapat bubar DUN


Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin - yang mendapat semula jawatan menteri besar Perak - kembali bertugas hari ini di bangunan sekretariat dengan kawalan ketat polis.

Beliau hadir bersama barisan exconya dan juga Speaker DUN, V Sivakumar, yang digugurkan dalam persidangan paling kecoh, Khamis lalu.

Kawalan ketat itu (foto) dilaporkan atas arahan Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim - yang diumumkan malam tadi telah digantung tugasnya oleh menteri besar tersebut.

Turut mengalami tindakan yang sama, penasihat undang-undang negeri Datuk Ahmad Kamal Shahid.

Surat penggantungan tugas kepada dua pegawai kanan itu diserahkan selepas jam 8 pagi tadi.

Sejurus kemudian Mohammad Nizar meninggalkan pejabat, menuju ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk satu majlis diraja.

Beliau juga berharap dapat menghadap Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah untuk membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihanraya negeri diadakan.

Seorang pembantu menteri besar itu Amran Harun dilaporkan mengirim kepada istana jam 8.20 pagi ini, memaklumkan hasrat Mohammad Nizar menghadap Raja Nazrin.

YAB Nizar Masuk Pejabat MB Pagi ini



BERIKUT adalah perkembangan krisis politik Perak selepas Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin disahkan sebagai Menteri Besar.

9.50 pagi: Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dari Barisan Nasional memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi KL semalam yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak sah.

9.07 pagi: Pasukan FRU mula meninggalkan kawasan pekarangan bangunan SUK. Sehingga kini separuh anggota telah meninggalkan kawasan bangunan SUK.

9.00 pagi: Barisan Exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat masih di pejabat masing-masing. Nizar pula berada di Istana Iskandariah.

8.30 pagi: Datuk Mohammad Seri Nizar mengemukakan surat minta perkenan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Surat dihantar dengan tangan oleh pembantu Nizar.

7.45 pagi: Nizar tinggalkan bangunan SUK menuju ke Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.

7.31 pagi: Nizar dan lapan Exconya masuk ke bangunan SUK. Wartawan tidak dibenarkan masuk.

7.28 pagi: Seorang pegawai pejabat SUK menghalang rombongan Nizar dengan meminta makluman pelaksanaan keputusan mahkamah semalam.

7.26 pagi: Pergerakan mereka ditahan oleh pasukan polis dan FRU yang menjelaskan kepada Nizar bahawa hanya Exco dibenar masuk ke bangunan SUK.

7.25 pagi: Nizar bersama lapan Exco dan beberapa ADUN Pakatan Rakyat melangkah ke arah bangunan SUK.

7.23 pagi: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tiba di pekarangan Wisma DAP isterinya Datin Seri Fatimah Taat.

7 pagi: Tidak sampai 10 ADUN termasuk sebahagiannya berkumpulan di pekarangan Wisma DAP - kira-kira 50 meter dari bangunan SUK Perak