Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Tuesday, May 12, 2009

SYUKUR ALHAMDULILAH

Syukur alhamdulilah kepada semua warga dan rakyat Perak khususnya dan Malaysia amnya yang telah sabar dan mendoakan untuk kemenangan dan keselamatan seluruh rakyat Perak. Selama 3 bulan kita dalam suasana krisis perlembagaan oleh kerana perbuatan rakus merampas hak rakyat negeri Perak pada 5 Feb. 2009 lalu.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah berkerjasama dan mendoakan kejayaan ini. Marilah kita bertenang, terus memuji kebesaran Allah SWT serta memohon keampunan dari Allah SWT.

Semua rakyat harus bertenang dan Pakatan Rakyat akan meneruskan khidmat kami membantu rakyat serta membela rakyat yang memerlukan banyak perhatian dan pertolongan dari kerajaan. Sesungguhnya kami akan meneruskan dasar serta janji demi kebaikan rakyat dan melaksanakanya di atas prinsip keadilan dan kesaksamaan.

Semua rakyat Perak beragama Islam mesti menunaikan solat sebagai tiang agama dan kembali kepada ajaran Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah kita akan banyakkan lagi program kebaikan dan membenteras kemungkaran demi berhasrat menyelamatkan bangsa, negara dan agama oleh kerana gejala sosial seperti dadah, rokok, ragut, rempit, zina, mabuk, tak sembahyang, jahil dan lain-lain.

Maka marilah semua kaum dan rakyat Perak kita ikut dan patuh kepada perlembagaan dan undang-undang tubuh serta mengikut Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Negara supaya dapat kita bangunkan balik tamaddun Islam yang telah lama tidak di beri perhatian wajar.

Sebagai Ahli Parlimen P059 Bukit Gantang pula saya mengajak seluruh warga parlimen tersebut mengemukakan segala masaalah mereka melalui pusat khidmat masyarakat yang telah saya dirikan di DUN Chagkat Jering, Kuala Sepetang dan dua pejabat di Trong.

Kepada semua kakitangan Kerajaan di semua peringkat, marilah kita laksanakan khidmat kepada rakyat dengan menganggap semua titik peluh kita sebagai amalan membantu rakyat agar mereka tidak menuntut hak mereka di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Marilah kita ambil kesempatan memberi sumbangan kepada rakyat yang cukup terhimpit akibat krisis ekonomi global kini.

Kepada semua media, marilah kita bebaskan diri kita dari belenggu fitnah dan sindrom enggan melaporkan yang benar. Kepada semua bloggers dan media kerajaan, saya pohon keampunan atas kesilapan dan ketelanjuran saya. Saya turut memaafkan serta mengampunkan kesilapan kalian.

Kepada semua pegawai dan penjawat awam, jangan lagi menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya buat kerja dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Kepada RTM FM Perak, berlaku adilah kepada saya dan Pakatan Rakyat untuk suara saya didengari oleh rakyat Perak kerana saya cuma mahu mengajak kaum saya bersolat dan berilmu. Saya bertemu dengan Menteri Penerangan ketika itu, Dato' Shabery Chik dan merayu berilah saya setengah jam seminggu untuk mengajak orang Melayu supaya patuh pada Allah dan jangan lalai. Hendaklah serius beragama. Maka berilah ini kepada saya. Namun tiada layanan darinya dan warga Perak FM di Ipoh. Tolonglah kami kerana kami difitnah dan danayai. Belalah Islam!.

Kepada semua warga tani, peladang, penternak dan nelayan, saya sayang kepada kalian semua dan akan membantu melegakan kehidupan yang terik sekarang.

Kepada semua ketua JKKK yang telah diberi surat watikah oleh saya sebagai MB tempoh hari, teruskan usaha baik tuan-tuan kerana dipilih oleh rakyat. Ini telah diperkenan oleh ke bawah duli yang teramat mulia Raja Muda semasa saya mengesyorkan usaha memilih ketua JKKK. Raja Muda cukup gemar dan berkenan dengan tindakan ini.

Saya kembali dengan hasrat memberikan hak kepada rakyat Perak pilih kerajaan yang kuat dan wibawa. Saya akan cuba sedaya upaya memohon perkenan Kebawah DYMM untuk bubarkan DUN Perak dan adakan pilihanraya seluruh negeri kita.

HIDUP RAKYAT!

ALLAHU AKBAR!



Posted by Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin