Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Friday, January 29, 2010

Khalid digantung enam bulan, Hasan lepas

awatankuasa disiplin PAS memutuskan menggantung jawatan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad selama enam bulan berkuatkuasa hari ini.


Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan, Khalid didapati bersalah kerana mendedahkan maklumat sulit parti dan mengkritik pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali.

Khalid digantung daripada menjadi yang dipertua PAS Shah Alam dan anggota biro politik parti.

Manakala Hasan juga didapati bersalah mengkritik prosedur tatacara pendengaran jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (Selcat) dan pelantikan pengurus besar PKNS, Liow Siew Moi.

Bagaimanapun, jawatankuasa tersebut hanya memutuskan memberi amaran bertulis kepada Hasan.

Kedua-dua mereka dilarang membuat kenyataan yang menjejaskan PAS dan Pakatan Rakyat.

Bercakap dalam sidang media selepas dua jam mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut, Tuan Ibrahim berkata, kedua-dua keputusan tersebut dibuat berdasarkan fasal 75 perlembagaan PAS.

'Kesalahan Khalid lebih serius'

Fasal tersebut memperuntukan hukuman amaran, menggantung jawatan, menggantung keahlian atau memecat keahlian dalam parti.

Kedua-dua tokoh itu dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh 30 hari bermula hari ini, tambah Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang.


Mengulas kesalahan yang dilakukan oleh Khalid, Tuan Ibrahim menyifatkannya sebagai "lebih serius".

"Ia berdasarkan kepada pengakuannya sendiri dalam siasatan bahawa (tindakannya) memberi impak kepada parti. Perkara yang sulit (mesyuarat PAS negeri) tidak boleh didedahkan kepada umum," kata Tuan Ibrahim.

Khalid yang tidak hadir kerana berada di Arab Saudi menghantar seorang wakil bagi menerima keputusan bagi pihaknya hari ini.

Tuan Ibrahim berharap hukuman kepada kedua-dua tokoh PAS Selangor itu akan menjadi iktibar kepada ahli dan penyokong agar tidak melakukan perkara yang sama.

"Sebaliknya kita harus menumpukan gerak kerja kita untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 daripada menimbulkan polemik dalaman.

'Guna saluran dalaman'

"Sekiranya tidak berpuas hati, guna saluran dalaman parti, bukan diluar parti," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akan menghantar keputusan penghakiman jawatankuasa itu kepada kepada Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dengan segara.


Sementara itu, Dr Hasan yang hadir bersama beberapa kepimpinan PAS Selangor berkata, beliau menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.

"Ini satu proses pendidikan kepada saya dan keputusan itu tidak mencacatkan kerja-kerja saya sebagai ahli PAS, kerja-kerja di negeri sebagai exco... dan atas sifat saya sebagai ADUN Gombak Setia," katanya dalam sidang media di lobi ibu pejabat PAS.

Beliau mengharapkan keputusan tersebut dapat melonjakkan PAS Selangor untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.


Sementara itu, Khalid ketika dihubungi melalui SMS memberitahu Malaysiakini, beliau akan memutuskan sama ada perlu membuat rayuan selepas pulang daripada luar negara pada 12 Februari ini.