Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Wednesday, February 3, 2010

Kelantan ceburi bioteknologi

Kelantan kini turut melangkah ke hadapan dengan mempelopori sektor bioteknologi bagi membangunkan bidang pertanian di Negeri Kelantan melalui anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Biotech Sdn Bhd.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi berkata, syarikat yang diwujudkan pada tahun 2005 itu mula mempelopori kaedah moden penghasilan anak benih pokok pisang, minyak kelapa dara, dan tanaman hiasan melalui teknologi kultur tisu.

Katanya, projek itu dijalankan dengan usaha sama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan turut memperkenalkan ternakan ayam herba berserta makanan ayam organik dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) penghasilan enzim industri.

”Syarikat ini akan berfungsi sebagai pemacu sektor bioteknologi di Kelantan bagi menghasilkan produk bernilai komersial menggunakan sisa pertanian sebagai bahan asas bagi mempertingkatkan penghasilan enzim industri untuk pasaran tempatan dan luar negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Che Abdullah berkata, dengan kerjasama dua buah universiti tersebut memindahkan teknologi berkaitan, Kelantan Biotech dijangka mampu menghasilkan benih berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan.

Katanya, sebanyak RM300,000 telah dibelanjakan bagi membina sebuah makmal berkapasiti menghasilkan 30,000 anak benih pokok pisang sebulan menjelang Mac 2010.

”Bagi tahun 2010, syarikat berkenaan dengan bantuan Kerajaan Negeri akan membimbing seramai 20 usahawan tani dari 20 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terpilih untuk menjadi perintis kepada projek ini bagi menghasilkan 575,000 kilogram pisang setahun.

”Untuk memastikan perjalanan projek ini lancar, syarikat berkenaan juga mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat penghasilan benih kultur tisu di Melaka yang telah berjaya menjana pembiakan berganda untuk mengusahakan tanaman dalam skala besar dan komersial,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sebagai satu langkah ke hadapan, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kelantan Biotech dan Baja Tani kini dalam proses mewujudkan EM Teknology & Entrepreneurial Center (EMTC) di Labok, Machang.

Katanya, ia berfungsi sebagai pusat latihan dan keusahawanan Teknologi EM daripada Jepun di mana peserta akan diberi kursus aplikasi dalam penternakan, pertanian, perikanan dan penjagaan alam sekitar yang lebih harmoni.

”Melalui semua perancangan ini, Kelantan dijangka muncul sebagai sebuah negeri yang komited dalam memartabatkan bidang bioteknologi dalam pembangunan sektor pertanian ke arah menjadikan Kelantan Jelapang Makanan Negara 2015,” katanya.