PAS sebenarnya kalah di Manek Urai…
1. Kalah dari segi janji-janji pembangunan
2. Kalah dari segi taraf akademik calon
3. Kalah dari segi curahan wang ringgit secara tunai
4. Kalah dari segi sokongan media cetak dan elektronik
5. Kalah dari segi sokongan agensi kerajaan
6. Kalah dari segi bilangan undi yang merosot
7. Kalah dari segi kemudahan jentera pilihanraya
Walaupun PAS memang dengan 65 undi, sewajarnya PAS membuat satu post-mortem (muhasabah) dan kajian mendalam dalam mencari punca kalahnya PAS di Manek Urai dalam keadaan situasi UMNO/BN yang telah goyah.
PAS sepatutnya boleh menang dengan selesa, namun beberapa tindakan pimpinan yang bertelagah sesama sendiri yang telah dibuka pekungnya oleh media cetak dan elektronik secara tidak langsung berjaya di”embedded”kan kedalam otak para pengundi.
Pakatan Rakyat (PR) sepatutnya pada masa ini dalam proses pembersihan organisasinya dan meneruskan kerja keras untuk menunaikan semua janji-janji sebelum PRU12 dahulu. Ketiga-tiga komponen dalam PR (PAS, DAP dan PKR) perlu bergerak seiring dan tidak bertelagah sesama sendiri. Ujudkan satu mekanisma untuk menyaring semua maklumat dan satu jawatankuasa umum yang memantau semua perjalanan negeri-negeri yang ditadbir oleh PR.
Ini penting demi untuk kelangsungan Pakatan Rakyat dan bagaimana ianya memberikan contoh terbaik demi mencorakkan pentadbiran yang telus, cekap dan amanah.
Isu-isu seperti kes pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya dan isu perumahan di Kampung Buah Pala sepatutnya ditangani dengan baik oleh jawatankuasa umum sebelum ianya dijadikan bahan peluru oleh media massa milik UMNO/BN untuk menyerang Pakatan Rakyat.
Banyak lagi sebenarnya isu-isu yang sepatutnya dibawa kepada perhatian jawatankuasa khas Pakatan Rakyat (JKPR) untuk disiasat dan diselesaikan mengikut lunas-lunas undang-undang yang sepatutnya tanpa perlu mendapat liputan luas oleh media yang sebenarnya cuba untuk melaga-lagakan dan memerangkap PR.
ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sewajarnya digalakkan kurang memberikan komentar secara terbuka kepada mana-mana media cetak dan elektronik demi untuk mengelakkan disalah takrifkan atau disalah tafsirkan untuk kepentingan media tersebut. Adalah lebih baik sekiranya ditetapkan bahawasanya hanya jurucakap JKPR sahaja yang dibenarkan untuk memberikan komentar dan ulasan.
Kepada Pimpinan Pakatan Rakyat, saya menyeru agar anda dengan segera menubuhkan JKPR ini demi untuk menyelamatkan Pakatan Rakyat daripada dipecah belahkan oleh media milik UMNO/BN dan sekutunya.