Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Monday, June 22, 2009

Pendedahan (4) Ustaz Ahmad Awang: Mengapa Tok Guru Nik Aziz sensitif dengan Umno?


KUALA LUMPUR: Apabila ucapan-ucapan kepimpinan PAS itu di spin oleh media, maka akhirnya yang timbul bukan idea konsep Kerajaan Perpaduan yang mencakupi semua parti-parti diwakili di parlimen pada masa ini. Ianya diputar-belitkan seolah-olah Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO atau Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO/BN.

Di sinilah timbulnya berbagai-bagai pandangan negatif atau tuduhan-tuduhan berat terhadap pimpinan tertinggi PAS pada masa ini. Saya percaya Mursyidul Am Tok Guru Nik Aziz (TGNA) tersentuh perasaan beliau apabila teringat apa yang berlaku dalam pertemuan sulit antara Pimpinan Tertinggi PAS dengan Pak Lah yang didedahkan sendiri oleh Presiden UMNO itu beberapa bulan sebelum Muktamar ke-54 di Perak tahun lalu.

Pertemuan itu kemudian diistilahkan sebagai muqabalah bukan muzakarah. Saya boleh mengerti TGNA begitu sensitif kerana jika dahulu boleh berlaku muqabalah secara sulit, apakah nanti tidak akan ada muqabalah seperti itu di antara pimpinan parti yang diberi mandat oleh perwakilan dalam Muktamar kali ini.

Apatah lagi apabila TGNA melihat “orang” tertentu yang terlibat dengan rundingan sulit dengan Pak Lah, dilantik memegang jawatan penting dalam pentadbiran PAS sekarang.

Saya sendiri pun tertanya-tanya samada Dato’ Seri Presiden berasa dalam keadaan serba salah bersabit perlantikan jawatan berkenaan terutama saya memahami watak TGHHA sebagai seorang yang sangat menghormati orang lain sehingga boleh menyebabkan beliau berada dalam dilema untuk membuat satu keputusan yang tegas.

Mungkin saya salah seorang anggota pimpinan PAS (mantan) yang cukup memahami sensitifnya TGNA bila mengenangkan pertemuan sulit pimpinan PAS dengan Pak Lah pada 10 Mac 2008 di sebuah rumah di Kuala Lumpur yang bertujuan membincangkan penubuhan Kerajaan PAS/UMNO/BN.

Namun ianya gagal atas sebab-sebab tertentu. Bayangkanlah apabila kerajaan PAS di Kelantan diserang begitu hebat terutama dalam kempen PRU ke-12 itu oleh pimpinan BN yang diketuai oleh Pak Lah sendiri, timbalannya Najib dan menantunya Khairy, tiba-tiba 2 hari selepas itu PAS diajak bersama untuk membentuk kerajaan walaupun bukan di Kelantan.

Takkanlah pimpinan PAS tidak terfikir macam mana UMNO boleh serta merta hendak berbaik dengan PAS setelah mereka berusaha hendak menghancur lumatkan PAS sebagai musuh utama politik mereka.

Tidak perlulah berfikir panjang, semua orang boleh tahu Pak Lah berbuat demikian kerana menyaksikan UMNO/BN menerima pukulan hebat dengan kehilangan majoriti 2/3 dan kehilangan kira-kira 50% kerusi parlimennya di Semenanjung. Itulah tabiat UMNO apabila hampir kehilangan kuasa, dibuatlah alasan PAS mesti bersama dengan UMNO demi kepentingan bangsa dan agama.

Pendedahan (3) Ustaz Ahmad Awang: Bagaimana isu kerajaan perpaduan ditimbulkan

KUALA LUMPUR: Dalam kegawatan perbincangan mengenai isu ini, pimpinan parti rakan Pakatan Rakyat membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong-penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat.

Malah dengan permainan dan pengolahan media arus perdana yang merupakan alat UMNO/BN, ulasan-ulasan kenyataan sedemikian boleh merenggangkan PAS dengan rakan Pakatan Rakyat.

Malah paling ditakuti ianya boleh membawa perpecahan. Saya sendiri banyak menerima panggilan telefon dan SMS dari rakan-rakan Pakatan Rakyat menyatakan kebimbangan mereka sekiranya benar-benar Kerajaan Perpaduan ini menjadi pemangkin ke arah kerjasama PAS dan UMNO untuk membentuk Kerajaan. Mengapa setengah pimpinan Pakatan Rakyat begitu mudah boleh terperangkap dengan permainan musuh?

Saya percaya ramai boleh memahami mengapa idea Kerajaan Perpaduan ini boleh menjadi isu yang sedemikian panas. Ia berpunca dari sidang media Dato’ Seri Presiden selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5 Jun lepas.

Dalam sidang media itu Presiden menyebut semula idea KP itu. Saya pun tidak pasti samada ianya timbul kerana soalan provokasi media kerana dalam ucapan dasar beliau lebih satu jam langsung tidak menyebut Kerajaan Perpaduan. Apa yang ditegaskan beliau ialah PAS akan terus memperkukuh Pakatan Rakyat dan bersedia menyumbang khidmat kepimpinan berlandaskan Islam Memimpin Perubahan yang menjadi tema Muktamar kali ini.

Saya sendiri terperanjat apabila mandapati semua media arus perdana hari ke dua Muktamar menyiarkan berita berkenaan Kerajaan Perpaduan. Hampir seluruh ucapan dasar Presiden tenggelam dengan isu KP ini. Pada awal pagi hari ke dua Muktamar itu, saya bertanya kepada Presiden mengenai perkara ini.

Kebetulan ketika itu beliau sedang berjalan seiring dengan Timbalan Presiden yang sedang menuju kenderaan masing-masing untuk pergi ke tempat Muktamar. Saya mencadangkan beliau menjelaskan perkara ini kepada media supaya tidak menimbulkan kekeliruan.

Akan tetapi saya mendapati berita yang keluar esok harinya seolah-olah menegaskan lagi keterbukaan pimpinan beliau untuk meneruskan idea Kerajaan Perpaduan. Barangkali yang terus menimbulkan pertanyaan-pertanyaan apabila dalam Ucapan Penggulungan Muktamar mengulangi penekanan kepimpinan atas keterbukaan PAS untuk bertemu dan berbincang dengan siapa-siapa sahaja.

Ucapan penggulungan Timbalan Mursyidul Am, Dr. Haron Din dan ucapan-ucapan penggulungan Presiden dan Timbalan Presiden dilihat seperti tidak begitu selari dengan pandangan majoriti besar perwakilan dan wakil Kelab Penyokong PAS yang dengan keras menolak sebarang pertemuan dan perbincangan dengan UMNO

Pendedahan (2) Ustaz Ahmad Awang: Bila idea Kerajaan Perpaduan dibangkitkan?

KUALA LUMPUR: Secara rasminya idea Kerajaan Perpaduan ini tidak pernah dibangkitkan dalam parti PAS apatah lagi untuk membincangkannya. Ianya tidak lebih dari lontaran idea Presiden Tuan Guru Haji Hadi Awang (TGHHA) seperti yang beliau sendiri pernah membuat kenyataan mengenainya.

Lontaran idea itu dibuat beliau semasa pimpinan Kerajaan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) yang menjanjikan untuk membasmi amalan rasuah.

Beliau menyuarakan idea dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan itu dapat dilakukan reformasi terhadap Suruhanjaya Pilihanraya dan Suruhanjaya Kehakiman yang selama ini dilihat semakin terhakis kepercayaan rakyat kepada kedua-dua suruhanjaya itu.

Di samping itu juga kebebasan media akan dapat dijamin bersikap adil kepada semua pihak. Saya difahamkan dalam sembang-sembang sambilan beliau pernah bercakap mengenai idea Kerajaan Perpaduan ini dengan Dato’ Seri Anwar dan Lim Kit Siang.

Bagaimanapun tidak ada perbincangan rasmi dengan pimpinan UMNO mengenai perkara ini dan tidak ada sebarang keputusan dibuat. Apa yang saya difahamkan lontaran idea ini pernah disampaikan kepada Pak Lah (sahaja) ketika hampir-hampir berlaku peralihan kuasa kepimpinan negara kepada Dato’ Seri Najib.

Khabarnya Pak Lah berminat dengan idea tersebut (bukan cadangan), mungkin kerana takut orang-orang beliau akan tersingkir apabila Najib menjadi Perdana Menteri, bukannya kerana idea Unity Government itu.

Namun tidak ada apa-apa perkembangan lanjut sehingga peralihan kepimpinan negara berlaku dengan perletakan jawatan Pak Lah pada 29 Mac lalu. Ini bererti Unity Government itu kini hanya menjadi idea akademik sahaja.

Ia sepatutnya tidak bangkit lagi sebagai perancangan parti atau perbincangan strategi politik PAS PADA MASA INI dan tidak sepatutnya pun menjadi isu yang menggawatkan baik di peringkat parti atau di peringkat Pakatan Rakyat

Pendedahan (1) Ustaz Ahmad Awang: Apa itu Kerajaan Perpaduan seperti yang difahaminya?


Maksud firman Allah SWT: “Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” -- (An'Nisa’:59)

Kerajaan perpaduan atau National Unity Government atau National Union Government adalah kerajaan gabungan yang luas meliputi semua parti-parti politik utama dalam parlimen bagi membentuk sebuah kerajaan. Kerajaan Perpaduan biasanya dibentuk bagi mengatasi keadaan semasa dan selepas berlaku peperangan atau selepas keadaan darurat sesebuah negara.

Kerajaan perpaduan pernah dibentuk di beberapa buah negara barat pada masa yang lalu, sebagai contohnya di Amerika, Presiden Abraham Lincoln membentuk Unity Government selepas Perang Saudara pada tahun 1865.

Di Canada pula Kerajaan Perpaduan atau Unity Government pernah dibentuk dalam masa Perang Dunia Pertama (1917) dan semasa Perang Dunia Kedua. Demikian juga Luxembourg pernah membentuk Kerajaan Perpaduan semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Di England pula pernah ditubuhkan Kerajaan Perpaduan pada tahun 1931 dan juga pada tahun 1935.
Indonesia adalah contoh terdekat dan terbaru Kerajaan Perpaduan. Kerajaan tersebut terbentuk selepas berlaku reformasi apabila tumbangnya pemerintahan Suharto yang kemudiannya digantikan oleh Presiden Habibie dalam masa peralihan kepimpinan apabila terbentuknya Kerajaan Perpaduan pada tahun 2004 sehingga hari ini.

Semua parti-parti yang memenangi pilihanraya tahun 2004 bergabung mendukung pemerintah. Ini bermakna tidak ada golongan atau parti pembangkang dalam kerajaan.

Bagaimanapun Presiden adalah dipilih terus melalui pilihanraya yang mana parti-parti utama bertanding merebut jawatan Presiden dan Timbalannya. Satu perkara yang perlu disebutkan sistem pilihanraya di Indonesia bagi memilih wakil-wakil rakyat di semua peringkat adalah mengikut kaedah proportional representative system yang berdasarkan pada peratusan undi yang didapati oleh kumpulan calon-calon dan peratusan kerusi yang mereka perolehi, bukannya berdasarkan kepada majoriti undi yang diperolehi oleh calon-calon yang bertanding di satu-satu kawasan parlimen atau negeri, seperti majority system yang diamalkan di negara kita.

TIADA LAGI KERAJAAN PERPADUAN:-MAJLIS PRESIDEN PR

KUALA LUMPUR, 22 Jun : - Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini menegaskan pihaknya menolak sebarang usaha membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendieri menyatakan, dalam isu Kerajaan Perpaduan, Umno telah menjalankan fitnah yang jahat dan dengan itu pihaknya bertegas tidak lagi mahu membincangkan pembentukan kerajaan tersebut.

Apa yang diusahakan sebelum ini disalah tafsir oleh kepimpinan Umno-BN untuk memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata memecahbelahkan hubungan pakatan, katanya.




Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media bersama Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Rakyat di Bilik Ketua Pembangkang, Bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir ialah, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan Dato' Seri Nizar Jamaluddin.

Sementara di pihak KeADILan, Presiden, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah; anggota MT KeADILan, Saifuddin Nasution, dan di pihak DAP pula, Setiausaha Agungnya, Lim Guang Eng; Dato' Ngeh Ko Ham.

Sementara itu, Anwar yang membacakan kenyataan mewakili Pakatan Rakyat menyebut, Pakatan Rakyat menolak pengwujudan kerajaan perpaduan.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang," katanya.

Majlis pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan Perpaduan dengan Umno/BN, yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan serta tindakan terdesak Umno mengugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat, tegas Anwar.

Menyokong pandangan itu, Salahuddin Ayub pula menyatakan kenyataan tersebut sebenarnya adalah muktamad dan ini bermaka tidak akan ada lagi 'unity talk' dengan Umno.

Malah Salahuddin kelihatan gembira dengan perkembangan itu yang seterusnya dilihat akan membuatkan Umno kelemasan.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Mahfuz pula memberi analogi bahawa 'Umno kini kehilangan tabung oksigen' apabila isu kerajaan perpaduan ini telah ditamatkan dengan kenyataan pimpinan pakatan.

Kenyataan itu juga sebagai satu usaha menutup talian hayat yang ada pada Umno/BN yang selama ini mengucarkacirkan pakatan dnegan penyelewengan isu kerajaan perpaduan, ujarnya. Harakahdaily/

Sunday, June 21, 2009

AMANAT HAJI HADI


Berikut adalah petikan daripada ucapan Haji Hadi Awang di Banggol Peradong, Kuala Terengganu 7 April 1981.


SAUDARA-SAUDARA SEKALIAN,

PERCAYALAH, KITA MENENTANG UMNO BUKAN KERANA NAMA DIA UMNO!
KITA MENENTANG BARISAN NASIONAL, BUKAN KERANA NAMA DIA B/NASIONAL!
KITA MENENTANG DIA KERANA DIA MENGEKALKAN PERLEMBAGAAN PENJAJAH! MENGEKALKAN
PERATURAN KAFIR!
MENGEKALKAN PERATURAN JAHILIYYAH!!
OLEH KERANA ITULAH KITA BERJUANG MELAWAN MEREKA.

PERCAYALAH SAUDARA,
PERJUANGAN KITA ADALAH JIHAD!
UCAPAN KITA ADALAH JIHAD!
DERMA KITA ADALAH JIHAD!
DAN KERANA KITA BERJUANG DENGAN PUAK-PUAK INI, KALAU KITA MATI KERANA
BERLAWAN INI, MATI KITA ADALAH MATI SYAHID, MATI KITA ADALAH MATI ISLAM!

KITA TIDAK PAYAH MASUK YAHUDI!
KITA TIDAK PAYAH MASUK KRISTIAN!
KITA TIDAK PAYAH MASUK HINDU!
KITA TIDAK PAYAH MASUK BUDHA!
TETAPI KITA MENJADI KAFIR DENGAN MENGATAKAN POLITIK SUKU AGAMA SUKU!!

Saturday, June 20, 2009

Siapa Yang Pasang Kain Rentang Di Seluruh Bachok???

Isu kerajaan perpaduan yang menyebabkan Tok Guru meminta YB Nasaruddin keluar PAS,kini diluahkan oleh penggundi parlimen Bachok.Mungkin penggundi atas pagar atau ahli UMNO dan ahli PAS yang menggundi beliau lakukan.








YAB Ir Nizar fail rayuan, pohon didengar 11 hakim


YAB Ir Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.

Dalam permohonannya juga, Nizar turut menyertakan permohonan kepada Ketua Hakim Negara supaya kes itu didengar di hadapan 11 hakim.

Mahkamah menetapkan permohonannya itu didengar di Mahkamah Persekutuan pada 9 dan 10 Julai depan.

Ir Nizar tiba di mahkamah di Putrajaya pada jam 3.05 petang dan diikuti oleh peguamnya, Leong Cheok Keng 10 minit kemudiannya.

Beliau memfailkan rayuannya walaupun tidak memperolehi penghakiman bertulis dari Mahkamah Rayuan.

Menurutnya, rayuan tersebut berdasarkan kepada alasan-alasan yang dinyatakan dalam penghakiman lisan oleh panel tiga hakim hampir sebulan lalu, pada 22 Mei.

Friday, June 19, 2009

MP Tolak kerajaan Perpaduan

HJ HADI SENASIB ASRI ?

Anggota Pas bukan tidak pernah berbeza pendapat berkaitan dengan Umno sejak era kepimpinan Ulamak pada 1983. Tetapi yang berbeza pendapat itu ialah bagaimana cara nak mampuskan Umno. Itu sahaja. Nak cara keras atau nak cara lembut. Pokoknya nak mampuskan Umno. Langsung tak ada cerita nak sama-sama duduk berbincang dengan Umno untuk memerintah bersama.

Tetapi kali ini bukan cerita nak mampuskan Umno tetapi cerita macam mana nak berkawan dengan Umno. Kalau dulu geng Terengganulah yang paling keras dengan Umno tetapi kali ini geng Terengganu pula dilihat nak berpeluk dengan Umno. Bukan kelakar tetapi tak masuk akal.

Apabila Mustafa Ali menjadi Setiausaha Agung dan ada pergerakan yang dapat dikesan oleh sekumpulan induvidu yang dikatakan think tank kepada Presiden, maka jelas ada usaha secara terancang untuk menjayakan Unity Govt ini.

Saya mencari-cari sebab, mengapa geng Terengganu syok dengan idea Unity Govt ini, walhal merekalah yang paling keras dengan Umno sejak kebangkitan Hj Hadi di Terengganu pada awal 80an dahulu.

Adakah fikiran Hj Hadi telah berjaya di BTNkan? Walhal beliau telah menjawab semua isu tersebut dalam kuliahnya apabila mengupas buku Syed Qutb - Muaallim Fi Toriq. Entahlah.

Adakah nasib politik Hj Hadi akan berakhir seperti Datuk Asri. Jika terjadi, saya akan menangis sepanjang hidup di dunia ini, meratap mengapa ini yang terjadi. Dan saya makin hiba apabila kekawan rapat saya dalam Pas Pusat menjadi syaitan bisu.

http://sokongpr.blogspot.com/

Kenapa Najib Sangat Marah Pada Datuk Husam Pasal Menentang Cadangan UG


KUCHING: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan Datuk Husam Musa supaya jangan cuba mengambil kesempatan daripada isu cadangan rundingan membentuk kerajaan perpaduan dengan meminta Umno tidak meletak calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai bulan depan.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan itu adalah orang paling lantang menentang cadangan pembentukan kerajaan perpaduan sejak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mencetuskan idea berkenaan.

“Saya tak tahu kenapa dia (Husam) cuba pula nak ambil kesempatan daripada isu kerajaan perpaduan ini, sedangkan dia sendiri sebelum ini jelas menentang kemungkinan kita mewujudkan kerajaan perpaduan itu.

“Kerajaan perpaduan adalah satu perkara yang mesti melalui proses perbincangan serta rundingan dan ia mengambil masa,” katanya selepas majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Pichin, Serian, kira-kira 90 kilometer dari sini, semalam.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Husam supaya Umno tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Manek Urai yang dijadualkan pada 14 Julai ini, jika ikhlas mahu merundingkan penubuhan kerajaan perpaduan.

Najib berkata, Umno masih bersikap terbuka berhubung isu pembentukan kerajaan perpaduan dan belum ada perbincangan berkenaan perkara itu, maka ia terpaksa melalui proses pilihan raya kecil (Manek Urai).

Najib turut mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang meminta Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatan Timbalan Presiden parti dan Ahli Parlimen Bachok jika terus menyokong idea penubuhan kerajaan perpaduan.

“Saya tak tahu apa di sebalik kenyataan Nik Aziz sebab pada kita sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan adalah sesuatu yang harus diusahakan, malah lebih kepada wajib membuat perkara yang membawa kebaikan, yang mendatangkan rahmat Allah,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri menyifatkan lawatannya ke Kampung Pichin, sebagai satu kunjungan penuh nostalgia kerana ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, pernah mengunjungi kampung sama 43 tahun yang lalu.

Katanya, berbeza dengan lawatan Tun Abdul Razak ketika itu yang hadir bagi menyempurnakan perasmian projek saluran air, beliau kembali kerana mahu meneruskan pembangunan yang sudah dibawa Perdana Menteri kedua itu.

http://www.bharian.com.my

DPPNK Menyokong Penuh Pendirian Mursyidul Am PAS TGNA Menolak UG Dan Kerjasama Dengan UMNO


Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyokong penuh pendirian TGNA Mursyidul Am PAS dalam menolak UG dan sebarang kerjasama dengan UMNO, dengan mengambil kira keputusan Muktamar.

Pendirian ini sekaligus dapat memperkasa Pakatan Rakyat dan menjelaskan segala kekeliruan dan keresahan ahli-ahli terutama bagi menghadapi PRK MU.Tumpuan seharusnya diberikan bagi menghadapi dan memenangi PRK MU dan jangan terperangkap dengan tipudaya musuh.

Lembaga Disiplin PAS sepatutnya mengambil tindakan segera dan menjalankan fungsinya dengan sebaik mungkin bagi mengatasi isu yang dihadapi pada hari ini…

Kita seharusnya bersatu dalam perjuangan menegakkan syariat.Kenapa harus menyerah pada musuh?. Musuh tetap musuh walaupun selaut janji ditabur tetapi semuanya dusta.Dan jangan biarkan mereka bersorak dan berpesta kemenangan di atas kesilapan yang kita lakukan..

Semuanya patut mendengar nasihat Mursyidul Am TGNA atas dasar pengalaman beliau yang cukup pedih ketika PAS ditendang keluar setelah bersama perikatan

YB MOHD ZAKI IBRAHIM ADUN KELABORAN SU PAS KELANTAN



YB Mohd Zaki Ibrahim Adun Kelaboran dan Timbalan Speaker Dun Kelantan yang merupakan bekas Ketua Pemuda Kelantan diberi kepercayaan oleh YAB Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz Haji Nik Mat sebagai setiusaha Perhubungan Pas Kelantan yang baru .Beliau menggantikan YB Dato Takiyuddin Hassan.

YAB Tok Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan kesemua jawatan utama di Perhubungan PAS Kelantan kekal kecuali setiausaha .

Timbalan Pesuruhjaya 1, Dato' Ahmad Yakob, Timbalan Pesuruhjaya II, Dato' Husam Musa, Timbalan Pesuruhjaya III, Dato' Mohd Amar Abdullah.

Bendahari, Dato' Anuar Tan Abdullah dan Ketua Penerangan, Ustaz Ahamd Baihaki Atiqullah. Manakala Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri, Haji Abdul Fatah Harun.

"Hari ini mesyuarat yang pertama penggal baru dan saya masih memegang jawatan Pesuruhjaya PAS Kelantan," katanya.

Mohd Zaki yang juga Timbalan Speaker Dun Kelantan , merakamkan ucapan terima kasih di atas kepercayaan Pesuruhjaya melantiknya sebagai setiausaha baru PAS Kelantan.

Thursday, June 18, 2009

Gabungan Pakatan Rakyat sebenarnya kerajaan perpaduan – TGNA



KOTA BHARU: Isu kerajaan perpaduan yang hangat dalam Pas ketika ini sehingga Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta timbalan presiden parti itu Nasharudin Mat Isa melepaskan jawatan jika mahu meneruskan agenda itu akan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas parti itu tidak lama lagi.

Nik Aziz berkata, selaku Mursyidul Am Pas, beliau dipertanggungjawabkan untuk mengatur dan mempengerusikan mesyuarat yang hanya akan dihadiri pemimpin tertinggi Pas termasuk Nasharudin.

“Saya sendiri akan menjemput Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan presiden (Nasharudin) dan beberapa pemimpin Pas lain yang akan saya tentukan kemudian.

“Pertemuan ini saya namakan mesyuarat ukhuwah yang akan menyelesaikan isu kerajaan perpaduan ini. Buat masa ini, masa, tarikh dan lokasinya belum lagi dapat ditentukan sama ada di Kuala Lumpur atau di Kelantan, bergantung kepada kesesuaian masa tetapi akan diadakan secepat yang boleh,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian Pas Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut kenyataannya semalam yang meminta Nasharudin melepaskan jawatan, Nik Aziz berkata, beliau belum dihubungi Nasharudin.

Ketika ditanya mengenai kerajaan perpaduan mengikut kehendaknya, Nik Aziz berkata, gabungan pakatan pembangkang ketika ini adalah yang sebenarnya kerajaan perpaduan.

“Kenapa perlu nak cari yang lain (kerajaan perpaduan)? Kelebihan gabungan Pakatan Rakyat sudah menghilangkan “Islam fobia” oleh bangsa lain seperti Cina dan sebagainya dan inilah dianya kerajaan perpaduan,” katanya.

Pada mesyuarat hari ini, semua penyandang jawatan parti dalam Pas Kelantan masih dikekalkan kecuali jawatan setiausaha yang kini dipegang Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Zaki Ibrahim, menggantikan Datuk Takiyuddin Hassan.

“Hari ini adalah mesyuarat yang pertama penggal baru dan saya masih memegang jawatan Pesuruhjaya Pas Kelantan,” katanya

http://www.bernama.com

muslimat tolak kerjasama dengan umno!

Dewan Muslimat PAS Pusat dan Ahli Parlimen Muslimat PAS menolak sebarang kerjasama politik dengan Umno dan Barisan Nasional.
Sebaliknya sayap parti PAS itu membuat ketetapan mahu PAS bersama Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan DAP di dalam gagasan Pakatan Rakyat.

Penegasan tersebut kata, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahamud dibuat sebagaimana keputusan muktamar PAS ke-55 pada 5 hingga 7 Jun yang lalu yang sebulat suara mahu PAS bersama Pakatan Rakat.

Beliau yang bercakap dalam satu sidang media di Lobi Parlimen berkata, mereka faham dengan kecelaruan yang berlaku di kalangan ahli-ahli akar Umno serta pimpinan peringkat bawah serta di kalangan penyokong dan pengundi PAS.

"Kami menyeru supaya ahli-ahli PAS, Kelab Penyokong PAS dan penyokong PAS bertenang dan tidak cemas dengan usaha-usaha pihak tertentu untuk memecah belah Pakatan Rakyat dan perpaduan dalam PAS," katanya yang turut ditemani, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali, Ahli Perlimen Rantau Panjang yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusuf dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi.

Malah Dr Mariah berkata, Muslimat menyeru kepada semua pimpinan PAS supaya tidak membuat kenyataan-kenyataan atau cadangan baru di luar keputusan muktamar atau perkara-perkara yang tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat atau Majlis Syura Ulama.

Dalam keadaan sekarang katanya, ahli-ahli PAS diminta terus bermunajat kepada Allah S.W.T. supaya memberi petunjuk dan hidayah kepad pemimpin-pemimpin PAS.

"Berilah sedikit masa kepada pimpinan untuk berbincang dan mencapai keputusan terbaik dan kata sepakat yang berhikmah untuk PAS menangani fitnah dan mehnah yang dihadapai sekarang," katanya.

Ujarnya, PAS sebagai parti yang sudah berusia 55 tahun dan sering berhadapan pelbagai cabaran politik memounyai pengalaman yang luas untuk menangani cabaran.

Beliau berkata, seharusnya pemimpin dan ahli melatakkan wala' dan thiqah (kesetian dan kepercayaan) kepada pejuangan jamaah.

Semua keputusan yang menyentuh dasar dan polisi yang diambil oleh pimpinan wajib berpaksikan kepada keputusan muktamar (yang merupakan kuasa membuat keputusan tertinggi dalam PAS).

10 Ahli Parlimen PAS Tolak kerajaan Perpaduan

Sepuluh ahli parlimen PAS tiba-tiba membuat kejutan petang ini – mengisytiharkan beramai-ramai penolakan kerajaan perpaduan dan sekali gus memberi mandat kepada mursyidul am untuk menangani isu tersebut yang sedang menggelegak dalam parti itu.

Dalam kenyataan ringkas tiga perenggan, mereka sebulat suara menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan seperti disarankan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang “tidak pernah merupakan agenda PAS.”

Kenyataan tersebut, bersama tandatangan sepuluh anggota Dewan Rakyat itu, diedarkan dalam satu sidang media di lobi Parlimen.

Ahli-ahli parlimen PAS itu seperti berikut: Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Mohd Hayati Othman (Pendang), Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar

KENYATAAN AKHBAR PAS KAWASAN KOTA MELAKA



PAS Kawasan Kota Melaka berdiri teguh di belakang Mursyidul Am PAS Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam isu menolak Kerajaan Perpaduan. Pas Kawasan Kota Melaka juga menyokong penuh tindakan Tuan Guru mencabar Timbalan Presiden Pas Ustaz Nasarudin Mat Isa meletak semua jawatan dalam parti dan sebagai Ahli Parlimen Bachok.

Pas Kawasan Kota Melaka begitu kesal dengan kenyataan-kenyataan yang dibat oleh Timbalan Presiden sejak akhir-akhir ini tentang Kerajaan Perpaduan dan tidak menghormati serta tidak walaq kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar

t.t
HJ SAMAT BIN AHMAD
Setiausaha PAS Kawasan Kota Melaka

Wednesday, June 17, 2009

JANGAN TERPERANGKAP !!

Peperangan badar Al-Kubra melahirkan kemenangan gilang gemilang. Harta ghanimah yang terhasil dari peperangan dibahagikan dikalangan tentera islam ketika itu.

Dalam pembahagian yang diberikan dikalangan tentera Islam, menyebabkan ada sebilangan rakyat Madinah yang masih kufur merasa cemburu. Dengan itu, menyebabkan mereka mula masuk islam dengan niat untuk mendapatkan harta ghanimah.

Golongan ini masuk islam bukan keikhlasan mereka terhadap Islam, tetapi keinginan mereka terhadap harta ghanimah. Mereka inilah yang disebut golongan munafiq.

Keadaan ini disedari oleh Abu Sufyan yang merupakan perdana Menteri makkah, juga Khalid bin Al-Walid yang berjawatan Menteri Pertahanan makkah.

Melihat ketidak puas hatinya sebilangan golongan di Madinah disebalik pembahagian harta ghaminah itu, menyebabkan Abu Sufyan dan Khalid Al-Walid telah melakukan provokasi untuk berlakunya peperangan kedua selepas peperangan badar Al-Kubra, bagi menuntut maruah dalam kekalahan mereka dalam peperangan badar yang lalu.

Provokasi demi provokasi yang dilakukan, menyebabkan berlakunya peperangan uhud. Dalam peperangan tersebut, Khalid Al-Walid telah menyusun satu tipu daya yang berkait dengan harta rampasan perang.

Khalid Al-Walid sedar kekecohan kecil berlaku di Madinah selepas peperangan badar Al-Kubra disebabkan harta rampasan perang (baca: harta ghanimah). Ini kerana, mereka yang layak menerima harta rampasan perang adalah mereka yang terlibat dalam peperangan.

Justeru, dengan isu “harta ghanimah” ini dijadikan sebagai sasaran penting dalam melemahkan tentera Islam dalam peperangan uhud.

Makanya, Khalid Al-Walid yang merupakan komandor dalam peperangan uhud telah mengarahkan tentera kuffar agar menyerang tentera Islam dibawah bukit uhud. Serangan yang dilakukan itu, bukanlah untuk serangan sebenar, bahkan ia sekadar tipu daya sahaja.

Serangan yang dilakukan dibawah bukit uhud itu, dilakukan untuk melahirkan “perasaan kuat” oleh tentera Islam. Justeru, , dikala perang sedang kecamuk, tentera Kuffar memperlihatkan seperti lemah, dan lari meninggalkan kawasan tersebut dengan ditnggalkan sama “harta” yang banyak dengan harapan pasukan pemanah Islam yang berada di atas bukit uhud akan turun meninggalkan posisi di atas bukit yang merupakan asas kekuatan tentera islam.

Ternyata “tipu daya” khalid Al-Walid berjaya, menyebabkan ramai pasukan pemanah tentera Islam telah turun dari bukit uhud untuk mendapatkan harta ghanimah, dan dikala itulah tentera Kuffar yang dikepalai Khalid Al-Walid menyerang bukit uhud dan seterusnya menguasainya.

Dengan kejayaan menguasai bukit uhud itu, menyebabkan tentera Kuffar diisytiharkan menang dalam pepernagan tersebut, dan tentera Islam kecundang

Presiden PAS Tidak Wala’ Pada Mursyidul Am?

Sepanjang hujung minggu ini saya terus menerus memimikrkan isu ini dengan mendalam. Begi saya, ini adalah satu perkembangan yang sangat-sangat menyedihkan.

Ahli-ahli PAS dimomokkan supaya sentiasa memberi wala’ kepada kepimpinan. Malahan, orang seperti saya ini telah dilabel sebagai seorang yang tidak memberi wala’ kepada kepimpinan.

Saya adalah produk tarbiyyah PAS. BEzanya, saya mula ditarbiyyah sebelum geng2 Terengganu mengmbil alih silibus tarbiyyah. Zaman saya, kami ditarbiyyah untuk memberi wala’ pada Allah dan Rasul.

Di zaman sekarang, pemuda-pemuda PAS ditarbiyyah untuk memberi wala’ kepada kepimpinan tanpa menyoal samada wala’ mereka itu sah atau tidak. Dengan kata lain, pemuda-pemuda PAS dilatih menjadi robot dan mengikut segala titah perintah kepimpinan tanpa soal.

Para ustaz2 muda lulusan Azhar digunakan sepenuhnya untuk tujuan membasuh otak ini. MEreka dihantar ke cawangan2 PAS untuk membasuh otak ahli supaya memberi ketaatan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan.

Apabila ada yang menyoal, mereka ini akan terus dilabel tidak memberi wala’ kepada kepimpinan. Sahabat saya, Ahmad Mokhtaza yang dulu pernah satu usrah dengan saya pun menuduh saya tidak memberi wala’ pada Presiden.

Malangnya, kata-kata wala’ ini tidak terpakai pula kepada Presiden parti yang baru2 ini jelas menolak mentah-mentah arahan Mursyidul Am PAS Pusat. Antara misal penolakan arahan Mursyidul Am adalah:

1. Memberhentikan perundingan dengan UMNO
2. Menghentikan idea kerajaan perpaduan
3. Membuang Mustafa Ali dari Harakah
4. Melantik Mat Sabu dan Husam Musa dalam Dewan Harian PAS Pusat dan banyak lagi.

Presiden lebih memberi wala’ pada Mustafa Ali dan Harun Taib serta geng Terengganu beliau. Geng yang sama yang telah bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan Terengganu telah diberi kekuasaan penuh dalam Dewan Harian PAS Pusat.

Dengan kata lain, Mursyidul Am telah dilayan sebagai tunggul oleh Presiden dan geng Terengganu. Padahal, Mursyidul Am adalah sebab utama PAS naik ke tahap yang begitu tinggi sekarang ini dan bukannya geng Terengganu.

PAS bincang isu Nik Aziz minta Nasharuddin lepas jawatan Isnin ini

KUALA LUMPUR: Desakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti kerana menyokong kerajaan perpaduan, dijangka dibincang pada mesyuarat parti itu Isnin ini yang akan dipengerusikan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata beberapa pemimpin parti itu.

Menurut mereka, Abdul Hadi yang kini berada di London, dijadual pulang Sabtu ini.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau memang terkejut dengan kenyataan yang agak keras oleh Nik Aziz terhadap Nasharuddin.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menganggap ianya adalah satu permulaan perpecahan parti.

Seorang lagi Naib Presiden PAS Salahudin Ayub pula berkata, mengikut tradisi parti, perkara sedemikian akan diputuskan pada mesyuarat parti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Taib Azamuddin Md Taib pula berkata beliau yakin pemimpin peringkat tertinggi parti itu mampu menyelesaikan perkara tersebut.

Nik Abdul Aziz hari ini secara terbuka meminta Nasharuddin meletakkan jawatan dalam parti serta sebagai Anggota Parlimen Bachok, jika beliau masih berhasrat meneruskan agenda kerajaan perpaduan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau yakin masalah itu mampu diselesaikan dengan bijaksana oleh kepimpinan Pas manakala pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang pula berkata beliau akan mendengar sendiri penjelasan berhubung perkara itu daripada Presiden PAS pada mesyuarat Isnin ini.

Di ALOR SETAR, Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Nik Abdul Aziz seharusnya meminta penjelasan daripada Nasharuddin sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan.

"Sebagai ketua, tok guru (Nik Aziz) boleh panggil Nasharuddin, minta penjelasan, tidak boleh buat kesimpulan berdasarkan kenyataan akhbar semata-mata.

"Memang tok guru menentang (kerajaan perpaduan) tapi terlampau awal untuk buat keputusan begini kerana akan timbul kekeliruan dan jadi tidak seronok di kalangan ahli," katanya.