Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Friday, June 19, 2009

Kenapa Najib Sangat Marah Pada Datuk Husam Pasal Menentang Cadangan UG


KUCHING: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan Datuk Husam Musa supaya jangan cuba mengambil kesempatan daripada isu cadangan rundingan membentuk kerajaan perpaduan dengan meminta Umno tidak meletak calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai bulan depan.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan itu adalah orang paling lantang menentang cadangan pembentukan kerajaan perpaduan sejak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mencetuskan idea berkenaan.

“Saya tak tahu kenapa dia (Husam) cuba pula nak ambil kesempatan daripada isu kerajaan perpaduan ini, sedangkan dia sendiri sebelum ini jelas menentang kemungkinan kita mewujudkan kerajaan perpaduan itu.

“Kerajaan perpaduan adalah satu perkara yang mesti melalui proses perbincangan serta rundingan dan ia mengambil masa,” katanya selepas majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Pichin, Serian, kira-kira 90 kilometer dari sini, semalam.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Husam supaya Umno tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Manek Urai yang dijadualkan pada 14 Julai ini, jika ikhlas mahu merundingkan penubuhan kerajaan perpaduan.

Najib berkata, Umno masih bersikap terbuka berhubung isu pembentukan kerajaan perpaduan dan belum ada perbincangan berkenaan perkara itu, maka ia terpaksa melalui proses pilihan raya kecil (Manek Urai).

Najib turut mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang meminta Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatan Timbalan Presiden parti dan Ahli Parlimen Bachok jika terus menyokong idea penubuhan kerajaan perpaduan.

“Saya tak tahu apa di sebalik kenyataan Nik Aziz sebab pada kita sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan adalah sesuatu yang harus diusahakan, malah lebih kepada wajib membuat perkara yang membawa kebaikan, yang mendatangkan rahmat Allah,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri menyifatkan lawatannya ke Kampung Pichin, sebagai satu kunjungan penuh nostalgia kerana ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, pernah mengunjungi kampung sama 43 tahun yang lalu.

Katanya, berbeza dengan lawatan Tun Abdul Razak ketika itu yang hadir bagi menyempurnakan perasmian projek saluran air, beliau kembali kerana mahu meneruskan pembangunan yang sudah dibawa Perdana Menteri kedua itu.

http://www.bharian.com.my