Saturday, January 9, 2010
Ujian Pertama " Wira Merah" 2010
KOTA BHARU - Tanggal 9 Januari ini merupakan saat ujian getir bagi pengendali Kelantan, B.Sathianathan apabila pasukannya bakal bertemu dengan pasukan jiran yang juga musuh tradisi dalam bola sepak Malaysia, Terengganu.
Perlawanan pembuka tirai bola sepak TM Liga Malaysia 2010 menjadikan ia pertemuan awal untuk dipersembahkan kepada penyokong fanatik kedua-dua pasukan di mana undian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada bulan Disember lalu menterjemahkan tidak lagi terjadi pada pertengahan saingan liga seperti mana musim lalu.
Bagi Sathia, ini adalah ujian sulung yang cukup getir akan dihadapi untuk tampil sebagai finalis Piala Malaysia musim lalu, bagaimanapun pengendali The Red Warriors itu mampu berbangga sebagai pasukan pertama yang akan bertanding pada musim ini.
”Ini adalah persembahan sulung kami untuk musim baru dan menjadi kebanggaan untuk memberi persembahan terbaik terutamanya dalam menentang musuh tradisi Terengganu.
”Bagaimanapun, kita masih lagi berada dalam saat getir kerana akan pergi ke Terengganu bersama beberapa pemain utama yang masih berada dalam kecederaan apatah lagi persiapan pra musim bersama beberapa siri perlawanan persahabatan di Kota Bharu sejak dua minggu lalu memberi keputusan sederhana,” katanya.
Pertemuan musim lalu di dalam Liga Super menyaksikan Kelantan menewaskan Terengganu 3-2 di Kota Bharu manakala aksi timbal balik di Kuala Terengganu pula berkesudahan Terengganu membalas dendam dengan kemenangan 2-0.
Bagi B.Sathia, tiada pilihan lain yang diharapkan selain mencatat keputusan positif biarpun beraksi di tempat orang dengan menaruh harapan tinggi kepada pemainnya malah lebih tinggi lagi harapan penyokong setia pasukan ini untuk melihat langkah pertama Kelantan mengutip mata.
Dengan senarai pasukan yang kuat dan mantap seperti penjaga gol nombor tiga negara, Syed Adney Syed Hussien yang dilihat hampir pasti menjadi calon utama di pintu gol Kelantan berserta Azizi Mat Rose di posisi pertahanan, pasti cepat menyesuaikan diri untuk membentuk gandingan mantap bersama Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Rizal Fahmi Abd. Rosid dan Mohd Zamri Ramli.
Gandingan kapten baru Indra Putra Mahayuddin bersama bekas kapten musim lalu, Mohd Badhri Radzi yang kembali beraksi akan mengukuhkan kedudukan jentera tengah Kelantan.
Turut beraksi pada kali ini, Mohd Norfarhan Muhammad yang masih bergelut dengan kecederaan bersama pemain posisi tengah Mohd Shakir Shaari.
Pemain lain yang tidak kurang hebatnya untuk diketengahkan sebagai penyerang masih lagi dalam teka teki tetapi pilihan Sathia mungkin terarah kepada pemain veteran Hairuddin Omar dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli serta pemain muda S.Chanturu selain Norshahrul Idlan Talaha.
Beberapa lagi senarai pemain yang mampu memikat hatinya mungkin juga bintang muda, S.Subramaniam, Zairul Fitree Ishak, Wan Zaman Wan Mustapa, selain pemain-pemain berpengalaman, Che Hisamuddin Hassan, Hairuddin Omar dan Mohd Norfarhan Muhammad.