Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Tuesday, May 19, 2009

DUN S'gor: Khir Toyo digantung setahun




Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor telah menggantung ketua pembangkang dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo daripada menghadiri sidang DUN selama setahun.

Tindakan itu diambil ekoran kegagalan beliau menghadiri siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor Mac lalu berhubung perbelanjaan dana agensi kerajaan negeri.

Jawatankuasa itu - di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor - juga mendapati beliau bersalah terhadap tiga tuduhan membuat kenyataan yang menghina legitimasi Selcat, dalam media dalam dalam blognya.

Ekoran itu, Dr Mohd Khir yang juga ketua pembangkang di DUN Selangor digantung selama setahun daripada menghdiri sidang DUN kerana gagal menghadiri siasatan awam tersebut, dan digantung masing-masing enam bulan bagi setiap tuduhan tersebut.

Kesemua elaun dan keistimewaan yang diterima Dr Mohd Khir Toyo sebagai seorang ADUN, juga digantung.

Jawatankuasa itu juga menggantung empat lagi ADUN BN Warno Dogol (Sabak), Isa Abdul Kasim (Batang Kali), Marsum Paing (Dengkil) dan Mohamad Idris Abu Bakar (Hulu Bernam) selama enam bulan kerana mempersoalkan integriti Selcat.

Elaun dan keistimewaan mereka juga turut digantung sepanjang tempoh hukuman tersebut.

Ia diumumkan oleh Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa hak dan keistimewaan tersebut di Shah Alalm untuk membincangkan perkara tersebut.

Bagaimanapun, Teng berkata, hukuman itu merupakan syor yang dibuat jawatankuasa tersebut.

Syor tersebut, katanya, akan dibentang di sidang DUN Julai depan untuk dibahas dan setiap wakil rakyat termasuk Dr Mohd Khir akan diberi peluang membahaskannya.

Dalam siasatan Selcat selama lapan hari Mac lalu, para saksi memberi keterangan bahawa berjuta-juta ringgit dana syarikat pelaburan kerajaan negeri, telah disalahguna oleh Balkis - Badan Kebajikan dan Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat BN Selangor - yang dipengerusikan oleh isteri Dr Mohd Khir - Datin Zaharah Kechik - sewaktu beliau menjadi menteri besar.

Sementara itu, ketika dihubungi selepas pengumuman tersebut dibuat, Dr Mohd Khir berkata beliau belum menerima surat berhubung hukuman tersebut.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan meminta peguamnya mengkaji perkara itu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya

PAS lancar dana bina kompleks RM 27 juta di Putrajaya



PUTRAJAYA, 18 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melancarkan Tabung Pembangunan Kompleks PAS yang bakal dibina di atas tapak seluas 17 ekar di sebuah hotel terkenal hari ini.

Apabila siap, komplek ini bakal mempunyai sebuah dewan persidangan yang boleh memuatkan 8,000 orang di samping pusat latihan moden serba lengkap di samping kawasan perniagaan dan perumahan.

Tapak itu terletak di Sungai Merab iaitu kira-kira lima minit perjalanan dengan kereta dari pusat pentadbiran negara di Putrajaya.

Ia di kelilingi oleh tasik dan sungai yang mengalir di sebelah tapak 17 ekar itu.

Menurut Abdul Hadi, kompleks ini bakal mempersiapkan PAS untuk melangkah ke Putrajaya.

Di majlis itu, beliau menerima sumbangan dari pelbagai pihak untuk menjayakan pembinaan komplek yang bakal dibuat secara gotong royong di kalangan tenaga pakar dalam PAS.

"Kompleks ini sudah dirancang sekian lama dan setelah mempunyai tapak yang sesuai kita lancarkan kutipan dananya hari ini," kata Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli.

Projek pembinaan kompleks yang dianggarkan menelan belanja RM27 juta ini dipengerusi oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa. Siasahdaily..

1,000 ahli Umno Kangar keluar parti?

Tindakan ahli-ahli Umno yang didakwa melompat parti untuk menyertai PKR secara terbuka di Perlis, khususnya di Kangar, menimbulkan tandatanya apakah ianya tanda membantah pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu sebagai pengerusi Umno negeri yang baru.

Dr Md Isa yang juga ADUN Bintong, merupakan ketua Umno bahagian Kangar.

Malaysiakini difahamkan seorang bekas pemimpin Umno bahagian Kangar telah mengisytiharkan keluar parti itu bersama-sama kira-kira 1,000 ahli parti itu untuk menyertai PKR, bulan lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, seorang pemimpin Umno bahagian tersebut yang tidak mahunya disebut, mengesahkan perkara itu berlaku tetapi berkata, tidak tahu apa puncanya.

Beliau juga mengesahkan kumpulan tersebut bertindak keluar Umno selepas selepas Dr Md Isa dilantik menerajui Umno Perlis, menggantikan bekas menteri besar, Datuk Seri Shahidan Kassim pada 24 April lalu.

"Mereka buat (keluar) secara terbuka," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Ditanya sama ada bekas pemimpin Umno itu mempunyai masalah dengan Dr Md Isa, beliau berkata: "Saya tak tahu".

Shahidan dilantik MT

"Tetapi setahu saya, bekas pemimpin Umno berkenaan, turut menghadiri perhimpunan agung Umno hujung Mac lalu," tambahnya.

Ia, tambahnya, diikuti pula dengan penubuhan bahagian DAP di ketiga-tiga bahagian - Padang Besar, Kangar dan Arau - yang dirasmikan dua minggu yang lalu.

Kemelut politik Umno di Perlis tercetus selepas pilihanraya umum 2008 apabila Shahidan tidak dilantik semula sebagai menteri besar.

Shahidan juga enggan melepaskan jawatan pengerusi Umno negeri kepada Dr Md Isa.

Bagaimanapun bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rombakan pengerusi Umno negeri-negeri.

Najib yang juga presiden Umno melantik Dr Isa Sabu mengetuai Umno Perlis.

Jawatan kosong

Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga ketua Umno Padang Besar, dikekalkan sebagai timbalan pengerusi Umno negeri.

Manakala Shahidan yang juga ketua Umno bahagian Arau, pula dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Mengenai badan perhubungan Umno negeri, setakat ini, Dr Md Isa belum lagi mengisi kekosongan bagi jawatan setiausaha, bendahari dan ketua penerangannya.

Sebelum ini, Datuk Hashim Suboh yang merupakan penyokong kuat Shahidan memegang jawatan ketua penerangan Umno negeri.

"Kalau dulu ada juga orang lobi-melobi jawatan tersebut, tapi sekarang orang macam tak peduli," kata seorang pemimpin Umno negeri itu.

"Sampai sekarang orang tertanya-tanya (siapa yang akan mengisi jawatan itu)," tambahnya.

Perlis mempunyai tiga bahagian meliputi 330 cawangan dengan sejumlah kira-kira 54,000 ahli.

Tak Salah bukan Islam baca al-Quran, masuk masjid


Oleh: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Islam ini pada dasarnya diturunkan untuk membawa petunjuk. Ia sumber hidayah. Ia menjadi rahmat dan penawar. Nilai gunanya adalah untuk seluruh semesta alam. Ia bersifat “rahmatal lil ‘alamiin.”

Ia berguna untuk seluruh umat manusia tanpa mengira perbezaan kaum,suku bangsa, warna kulit dan bahasa. Sepatutnya, al-Quran itu boleh digunakan dengan jujur dan ikhlas oleh penggunanya tanpa mengira sesiapa.Pada saya, kesediaan YB. berkenaan yang cenderung menggunakan ayat al-Quran adalah satu permulaan kepada satu perkembangan yang cukup menggalakkan. Tidak ada sebab ia tidak dialu-alukan.

Jika dalam zaman awal Islampun, Abu Lahab yang bukan Islam itupun diizin membaca dan memahami surah Al-Lahab yang mencela beliau, maka apa pilihan kita untuk menutup hak bukan Islam untuk mendekati, membaca dan cuba memahami al-Quran ?

Isu ini bermula sebaik saja pemimpin Umno mencetuskan keresahan demi meraih perhatian untuk mendapatkan populariti dan simpati ke atas partinya yang semakin dibenci orang. Saya diberi faham bahawa isu asal hanyalah kecil. Isu yang berbangkit ialah nama surah sahaja yang disebut salah tetapi ayat yang dikutip dan diterjemahan adalah betul.

Bacaannya masih OK; cuma intonasi dan sebutannya saja yang sedikit tersalah. Tetapi, taklah pula bacaannya itu sebaik seorang qari musabaqoh atau tilawah. Hatta, ada juga orang Islam baka, yang sudah lama Islamnya sekalipun; masih tidak sempurna dari segi tertib dan tartil, dari segi sebutan dan tajwid serta lafaz panjangpendeknya.

Apa yang saya nampak, YB. berkenaan tidak mentafsir. Dia cuma membaca terjemahan "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan". Dia terjemah perkataan “ehsan” sebagai 'belas kasihan'. Itu saja.

Dalam Islam, ada satu perkara yang disebut “ Li iilaafi-quraisy “ seperti yang terkandung didalam surah Quraisy ayat 1. Maksud bergerak dari kalimat ini saya ertikan sebagai “menjinak atau menjinakkan.”

Menjinakkan siapa, jika tidak orang-orang yang belum Islam kepada Islam? Disini, apa salah orang Cina jika dia baca Quran dengan tujuan untuk berjinak-jinak dengan Islam? Jika katakan tersalah(katakan), maka dengan lemah lembut dibetulkan. Tak berbangkit sama sekali soal keperluan lapuran Polis oleh sesiapa.

Pada saya, ini percubaan menutup ruang dan menyekat langsung laluan non-Muslim mendekati Islam seperti yang pernah dilakukan oleh sebahagian dari penguasa masjid di tempat-tempat tertentu yang menghalang orang non Islam dari memasuki masjid. Sedangkan dalam surah ‘Abasa, jelas yang Nabi SAW menerima, menegur dan membimbing orang Islam dan non Islam didalam masjid.

Berbalik kepada isu, jika orang Cina baca salah, maka apa jaminan yang orang Melayu yang kebanyakannya datang dari jenis Islam baka inipun turut tidak salah ? Hal ini boleh disahkan oleh guru-guru tajwid seluruh negara pada bila-bila masa.

Ambil saja surah al-Fatihah yang menjadi ummul kitab.Saya tidak suka mencabar tetapi saya hampir pasti akan kekurangan yang juga turut melanda orang Melayu yang diperanakkan dalam suasana Islam sepenuhnya ini.satu lagi ialah apa gunanya Quran jika tidak untuk dibaca?Bagaimana orang bukan Islam mahu memahami jika diharamkan mereka dari bertatih membaca al-Quran.

Ini permulaan.Kita kena faham. Hatta, Saidina Umar sendiri diwaktu belum Islam(kufur) sekalipun direkodkan pernah merampas sesuatu dari tangan adik beliau. Beliau lalu mendapati bahawa ia satu tulisan dari Surah Toha lalu beliau membacanya dalam keadaan genggam dan lepas. Sebenarnya kufur zaman dulu adalah orang Cina atau Indialah di zaman sekarang. Sepatutnya, kita berbangga apabila orang bukan Islam boleh memetik dan cuba-cuba membaca ayat dari kitab suci kita.

Salah satu punca kelemahan dalam menguasai ilmu pembacaan al-Quran ini ialah tidak dapat menguasai tulisan jawi. Ini kerja siapa jika tidak dari kerja pemimpin Umno akibat dari “dasar anti- jawi” mereka yang amat dungu? Pemimpin Umno yang sebelum inilah?

Dalam keadaan pemimpin Umno yang meninggalkan Quran dan telah membunuh tulisan jawi itu, tiba-tiba, apabila ada pemimpin Cina membaca Quran dalam pelat yang dipandang salah, pemimpin Umno sibuk mendesak DAP mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

Disini soalan pertama saya, mana lebih besar dosanya, menolak Quran dan mengherdik hukum Islam dengan dosa cuba membaca al-Quran? Soalan kedua saya, apa kata, jika dalam satu masa terdekat, ada pihak yang dapat buktikan yang ada juga pemimpin Melayu dari Umno yang membaca Quran dengan salah? Mahu atau wajarkah mereka dimalukan dengan dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka?

Saya perlu ingatkan di sini bahawa kita sedang hidup di zaman IT. Ingatlah bahawa bukti cukup mudah untuk dicari. Saya pernah tengok keajaiban teknologi internet yang ditunjukkan oleh kawan-kawan dan anak cucu saya.

Di sana ada kamera digital, adanya “youtube”, ada 3G, ada pen drive, CD, email dan pelbagai lagi rangkaian produk rakaman yang cukup sofistikated.

Dalam hal begini saya lebih gemar kita semua melakukan muhasabah. Jika takdirnyalah, rakan-rakan kita dari yang “belum Islam” ini ada kekurangan dari segi sebutan ayat-ayat Quran, kenapa kita tidak berfikir untuk adakan kelas-kelas asas pengenalan ilmu al-Quran kepada non Islam?

Dalam hal ini, gunakanlah semua rangkaian radio dan telivisyen kita untuk mengadakan slot-slot rancangan berupa kelas “mesra al-Quran” seperti yang ada dalam rancangan “learn a word a day” atau belajarlah satu perkataan satu hari . Mungkin juga ia boleh disusuli dengan kelas-kelas malam percuma di semua masjid dan surau.

Mungkin juga, kelas-kelas tuisyen malam disekolah-sekolah boleh juga diatur seperti sistem sekolah dewasa di awal tahun 60 han. Atau , kita ada IKIM, JAKIM, YADIM, dan Jabatan-Jabatan Agama Islam setiap Negeri. Saya percaya, kita boleh melakukan sesuatu ;mengambil kesempatan dan menafaat dari trend keghairahan baru yang sihat ini demi membangun bersama Islam dan mendekatkan non Islam kepada Islam.

Di sini, tidak bolehkah kita sama-sama cuba berfikir dalam kerangka pemikiran sebuah kerajaan. Janganlah terlalu mahu berpolitik secara berparti dalam serba-serbi sehingga segenap perkara hendak dipolitik mengikut syak wasangka kepartian.

Sikit-sikit menuntut maaf.Ini seperti yang didesak oleh Naib Ketua Bahagian Hulu Terengganu misalnya dalam akhbar semalam bertarikh 7 April 2009. Sikit-sikit lapuran polis. Sikit-sikit ini perkara perkauman, menghasut, sensitif dan boleh menimbulkan pecah belah.

Jika kita tidak sensitifkan isu ini maka tidak sensitif lah ia. Perkara ini bukannya susah sangat tetapi sengaja nak dikeliru dan nak disusah-susahkan. Mungkin dalam kekeliruan dan kemarahan yang sengaja di api-apikan itulah Umno mengharapkan dirinya dijulang.

Sekarang, orang sudah ramai yang cerdik. Ini khususnya dikalangan orang-orang muda. Mereka biasanya lebih cepat menghidu dan dapat membezakan terus antara durian dengan tempoyak.

Sebagai penutup, mari kita mendalami keluhan dukacita YB. Nga di atas pendirian terbaru Umno ini. Kata beliau, “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Pendek kata, pelik sungguh Umno ini. Dia tolak Islam tak salah. Orang Tionghua nak dekati Islam melalui bacaan al-Quran di kira salah ?

Sejak kalah di kedua bukit, Umno ini, betul-betul sudah menjadi sebuah parti yang meracau. Tidak cukup dengan seribu satu masalah di kedua tangan, dia masih menimbulkan masalah. Kehadirannya cukup menimbulkan serba salah. Ajaran yang dibawanya semakin sehari semakin salah

BN mengaku kalah ?, tidak tanding kerusi Penanti

Barisan Nasional tidak akan meletakkan calon menentang PKR pada pilihanraya kecil DUN Penanti yang bermula Sabtu ini, kata pengerusinya Datuk Seri Najib Razak hari ini.Perdana menteri menggariskan tiga sebab BN menolak untuk bertanding di kerusi tersebut.
Pertama, kekosongan kerusi itu bukan diperuntukkan oleh perlembagaan tetapi satu usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.

Kedua, pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.

Ketiga, BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan langkah memulihkan ekonomi negara.

Najib menafikan BN takut tewas di kerusi tersebut. namun kitadapat menilai sendiri bagaimana susahnya BN ingin mengemukakan alasan di atas dan sekurang-kurangnnya sebanyak tiga kali mesyuarat penting dilakukan untuk memutuskan keputusannya pada hari ini.

Bermula dengan Mesyuarat MT UMNO, selepas itu Biro Politiknya dan hari ini Majlis Tertinggi BN baru ada keputusan.

Beliau mengumumkan demikian selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur selama lebih dua jam bermula 4.30 petang.

Keputusan BN itu tidaklah mengejutkan kerana sebelum ini, Najib pernah mengatakan BN mungkin tidak bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut kerana tidak mahu 'membazirkan wang rakyat'.

PKR pula telah menamakan timbalan pengerusi perhubungannya di Pulau Pinang, Mansor Othman untuk mengisi kembali kerusi tersebut yang dikosongkan oleh wakil rakyatnya, Mohammad Fairus Khairuddin.

Bekas timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang melepaskan kerusi tersebut 16 April lalu di tengah-tengah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau bagaimanapun tidak didakwa di mahkamah selepas suruhanjaya itu mendapati tiada bukti kukuh untuk berbuat demikian.

Ditanya mesej yang ingin disampaikan BN kepada masyarakat, Najib berkata mereka "tidak mahu menari mengikut rentak pembangkang."

Umumnya dapat memberi jawapan kalau BN berhadapan sekali di Penanti dengan Pakatan Rakyat, keputusan awal telahpun diperolihi iaitu meihak kepada PR. Inilah sebenarnya faktor yang sebenar BN tidak meletakkan calonnya kerana takut kalah

Nizar mohon kesnya didengar lima hakim Mahkamah Rayuan

Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengemukakan permohonan bagi mendapatkan panel lima hakim Mahkamah Rayuan untuk mendengar permohonannya mengetepikan keputusan mahkamah itu minggu lepas yang membenarkan penangguhan pengisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah
Peguam Leong Cheok Keng, yang mewakili Mohammad Nizar, ketika dihubungi berkata, surat permohonan itu telah dihantar melalui faks ke pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini, pada pukul 4 petang tadi.

Alasan permohonan itu ialah kerana kes tersebut, yang ditetapkan pendengarannya Khamis ini, membabitkan kepentingan awam, selain melibatkan isu dan persoalan perlembagaan, katanya.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Ab Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati Mohammad Nizar tidak pernah mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Berikutan keputusan itu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan pengisytiharan itu yang telah didengar dan dibenarkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali.

Mohammad Nizar kemudian memfailkan permohonan Rabu lalu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu. Mstar.

YB Zaki Cabar Nasrudin Hassan