Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Friday, January 8, 2010

Kalimah Allah: Salahuddin cadang PAS adakan 'Wacana Ilmiah'

KUALA LUMPUR, 8 Jan: Demi mendepani isu kalimah 'Allah', Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mencadangkan PAS bertindak secara progresif dengan menggunakan pendekatan 'Wacana Ilmiah' dengan masyarakat Islam dan bukan Islam.

"Saya sendiri akan membawa perkara ini (Wacana Ilmiah) dalam mesyuarat PAS akan datang, pada 10 Januari ini.

"PAS perlu ambil langkah proaktif ini (dengan) meyakinkan kumpulan-kumpulan masyarakat bukan tentang (penggunaan) nama Allah menurut kita (Islam)," ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan bahawa cadangan tersebut sebenarnya selari dengan keputusan jamaah PAS seperti yang diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Beliau turut mencadangkan PAS mengadakan 'Wacana Ilmiah' dengan beberapa badan bukan kerajaan (NG0) berkaitan Islam yang terbabit memperkatakan isu kalimah 'Allah' tersebut.

Ujarnya, PAS juga dicadangkan mengadakan Wacana Ilmiah dengan Ketua Paderi Katholik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh para nabi, sahabat Rasulullah s.a.w serta cendekiawan Islam sepanjang zaman.

Dalam perkembangan yang sama, Salahuddin turut tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa pihak tertentu cuba mengambil kesempatan atas sensitiviti umat Islam dan bukan Islam disebabkan isu tersebut.

"Tak mustahil pihak tertentu ini mengambil kesempatan dengan propaganda-propaganda murahan disebabkan isu sensitif ini," jelasnya.

Ditanya tentang kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Mohd Hassan Ali melarang rakyat bukan Islam menggunakan nama Allah, beliau berharap para pemimpin PAS yang lain boleh berpegang dengan keputusan Lajnah Politik PAS sebelum ini.

"Saya berharap kita (pemimpin PAS) yang lain tetap berpegang dengan keputusan parti.