Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Monday, January 11, 2010

12 nelayan bertarung nyawa


TUMPAT - Gara-gara enjin bot rosak, 12 nelayan, (10 awak-awak, dua tekong) bersabung nyawa apabila bot mereka hanyut selama dua hari di tengah laut kira-kira 50 batu nautika dari pantai dekat sini, kelmarin.

Lebih mencemaskan 12 nelayan itu yang turun ke laut menaiki dua bot kelas A di Pengkalan Che Mas di sini terputus hubungan kerana alat komunikasi dalam bot mereka hanya boleh berhubung dalam kawasan 20 batu nautika sedangkan kedudukan mereka dekat kawasan unjam sejauh kira-kira 50 batu nautika.

Seorang tekong, Wan Ismail Wan Yusof, 65, berkata, dia bersama lima awak-awak dalam bot agak cemas apabila enjin bot rosak dengan tiba-tiba sedangkan mereka tidak dapat berhubung kerana alat komunikasi tidak berfungsi setelah melepasi jarak 20 batu nautika.

“Tiada apa yang pakcik fikirkan selain anak isteri di rumah. Kalau bot ini terus dihanyutkan ke tengah laut, mungkin pakcik akan berdepan dengan ancaman lanun laut.

“Lagi pun pakcik pernah ditahan lanun Vietnam dan pengalaman perit tersebut masih menghantui pakcik. Kami bimbang bot ini akan hanyut memasuki negara Vietnam,” katanya yang masih keletihan bertarung nyawa setelah botnya dua hari hanyut di laut.

Menurutnya, dia agak bernasib baik kerana sebuah bot lagi yang dinaiki Tekong Arifin Harun, 55, bersama awak-awaknya berada lima batu nautika darinya.

“Bot Tekong Arifin yang datang menunda bot kami untuk balik ke darat dan perjalanan kami terpaksa berdepan dengan masalah lagi apabila bot Tekong Arifin bersama awak-awak enjinnya pula meragam.

“Kami terpaksa membiarkan bot hanyut dan berserah kepada nasib semata-mata. Jika umur panjang dan Tuhan masih sayangkan kami, kami akan selamat pulang," katanya yang turun ke laut hari Rabu lepas lagi.

Bagaimana pun, nasib mereka agak baik apabila mendapat bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia setelah pemilik bot Tekong Arifin, Ismail Yaakob, 46 membuat laporan bahawa ada dua buah bot terkandas di tengah laut kerana enjinnya rosak.

Ismail berkata, dia menerima maklumat botnya rosak di tengah laut apabila dimaklumkan oleh nelayan yang pulang menangkap ikan mengatakan botnya terapung-apung dipukul ombak di tengah laut dan disyaki enjinnya rosak.

“Saya terus memaklumkan kepada Ketua Daerah Perikanan Tumpat, Manaf Mat, Agensi Penguatkuasa, Pasukan Gerakan Marin mengenai dua buah bot yang hanyut di tengah laut sehinggalah bot APPM datang membantu dan mengiringi ke dua-dua bot tersebut hingga ke kuala,” katanya.

Menurutnya, walaupun 12 nelayan itu selamat tiba di Kuala Tumpat jam 12 tengah malam hari Jumaat lagi, mereka terpaksa bermalam di laut sekali lagi kerana masalah Kuala Tumpat sempit menyebabkan bot-bot mereka tidak dapat masuk ke pengkalan dekat Kampung Tanjung Che Mas.

"Sudahlah mereka semua letih dan masih trauma dengan kejadian bot hanyut, di Kuala Tumpat pula ada masalah kuala cetek dan terpaksa bermalam di laut semalaman lagi.

"Keesokan hari (hari Sabtu) barulah mereka boleh masuk ke Kuala Besar untuk pulang ke rumah masing-masing di Tanjung Che Mas,” katanya.