Pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Umno, Tuan Aziz Tuan Mat dengan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah.
Calon Umno, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, adalah yang pertama menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.
Beliau yang juga ketua Pemuda Umno Kuala Krai menyerahkan borang pencalonannya di pusat penamaan calon di SMK Sultan Yahya Petra 1, sejurus selepas ia dibuka pada jam 9 pagi.,
Tuan Aziz adalah lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan bekas pengurus bahagian pemantauan projek Kesedar.
Sejurus kemudian, calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan, pula menyerahkan borang pencalonannya.
Pilihanraya kecil tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya dari PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu.
Apabila proses penamaan calon tamat pada jam 10 pagi, hanya Tuan Aziz dan Mohd Fauzi yang menyerahkan borang pencalonan masing-masing.
Ini diikuti dengan tempoh selama sejam sebelum pegawai pengurus pilihanraya kecil tersebut mengumumkan senarai calon yang layak bertanding pada 14 Julai ini.
Kempen akan bermula sebaik sahaja pengumuman tersebut dibuat.
Mohd Fauzi yang ditemui selepas wawancara dengan RTM dan ditanya mengenai peluangnya, berkata:
"Setakat ini, peluang kita cerah kerana kita rapat dengan rakyat kampng dan akar umbi lebih awal. Rakyat sudah lama mengenali saya."
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi menganggarkan penyokong PAS yang hadir seramai 7,000 dan 4,000 penyokong BN.
Sehingga jam 10.35 pagi tadi, katanya, polis belum menerima apa-apa laporan mengenai sebarang kejadian tidak diingini berlaku sehingga ini.
Beliau berharap penyokong kedua belah akan mematuhi undang-undang.
Abdul Rahim berkata 3,000 anggota polis ditugaskan di Manek Urai sepanjang kempen pilihanraya kecil berkenaan.