SHAH ALAM, 7 Jun (Hrkh) - Perwakilan Dewan Pemuda PAS Pusat, Dzulkifli Ahmad mengancam mereka yang menyertai PAS untuk mengetengahkan agenda peribadi apatah lagi untuk bersama-sama Umno-BN.
"Kita takut ada yang akan menggunakan perjuangan Islam untuk kepentingan agenda perjuangan mereka, kita mengancam golongan mereka yang melakukan tindakan sedemikian.
"Pemuda juga tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan individu yang terbabit," katanya ketika membahaskan usul mewujudkan sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat insiden rampasan kuasa di Perak.
Tegasnya, tiada istilah bekerjasama dengan Umno-BN dalam apa jua bentuk memandangkan PAS tidak memerlukan parti itu malah ia perlu dikuburkan.
"Kita adalah penentang-penentang Umno yang tegar dan tidak akan berkompromi dengan mereka.
"Jika ada pemimpin yang berbincang dengan Umno, mereka harus ingat bahawa Umnolah yang harus ditarik kepada PAS dan bukan kita yang pergi untuk berbincang dengan mereka," tegasnya.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai munafik dan najis dalam perjuangan ini.
"Tolonglah jangan menjadi seperti najis dalam perjuangan," ujarnya.
Beliau yang juga Pemuda PAS Pandan mengingatkan agar semua pihak khususnya mereka yang telah dipilih menduduki saf kepimpinan agar sentiasa menyedari bahawa tanpa sokongan daripada perwakilan di peringkat kawasan bahawa mereka tidak mungkin berada di tempat tersebut.
"Bak kata satu pepatah india yang berbunyi 'kamu hendaklah bekerja dan rajin dan jangan cemburu dengan jawatan orang lain' kerana mereka tidak mungkin dapat berada di sana tanpa sokongan daripada cawangan dan kawasan.
"Tidak mungkin mereka dapat menjadi wakil rakyat ataupun apa-apa tempat yang tinggi kerana kesemua itu bukanlah bergantung kepada kekuatan diri sendiri semata-mata," ujarnya lagi.
Oleh yang demikian, beliau menegaskan bahwa pimpinan perlu mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak mengadakan kerjasama dengan Umno-BN. - mns_