Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Monday, May 25, 2009

PAS Kuala Krai mulai gerakkan jentera pilihan raya

KUALA KRAI, 24 Mei : - PAS kawasan ini telah menggerakkan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Manek Urai berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Haji Ismail Yaakub pagi Jumaat lalu.

Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, persiapan awal telah digerakkan bermula semalam dengan mengadakan beberapa pertemuan.

"Dan malam ini akan diadakan mesyuarat jawatankuasa PAS kawasan di Dun Manek Urai.

"Kita membuat persiapan awal sebelum jentera peringkat negeri turun," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kemalangan jalan raya di Ladang Pasir Gajah, petang tadi.

Malam semalam seorang pemuda India, Kumara Dewan, 32 mati akibat kemalangan jalan raya di Kampung Keroh. Sumbangan disampaikan kepada ayah mangsa, B Balakrishnan.

Mangsa dijangka melangsungkan perkahwinan pada Ogos depan. Dia juga mengusahakan kedai runcit di ladang tersebut. Kumara merupakan anak kedua daripada empat adik beradik.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, PAS Kuala Krai akur sepenuhnya mana-mana calon yang diketengahkan pimpinan bagi mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Beliau juga berharap mendapat kerjasama jentera pilihan raya Pakatan Rakyat dari seluruh negara seperti mana yang berlaku di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

"Saya yakin sepenuhnya seluruh jentera Pakatan Rakyat akan turut memberi sumbangan dalam pelbagai cara untuk mempertahankan Dun Manek Urai," katanya.

Beliau juga berharap Umno tidak meletakkan calon di Manek Urai memandangkan sebelum ini mereka tidak mahu membazirkan wang kerajaan.

"Sekarang kita akan lihat mereka akan bertanding atau tidak. Kalau di Penanti mereka menarik diri atas alasan tidak mahu membazir," katanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Krai, Ustaz Mahadi Mat Zin berkata, pemuda PAS kawasan itu akan bekerja keras mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil tersebut. Harakahdaily.