Sesaat Berlalu Adalah Sejarah

Saturday, May 23, 2009

Krisis Perak: Tuhan Tidak Peduli?


Aik, hakim (Hakim Mahkamah Tinggi) pun boleh silap? Bicara punya bicara, hujah punya hujah, semalaman memikirkan bagaimana mahu menyediakan kertas penghakiman, tiba-tiba hakim sikit atas pula kata hakim bawah sikit buat kesilapan.

Tak pernah dengar pula, hakim sikit bawah kata, hakim sikit atas buat silap?
Macam mana sistem ini, sesudah hujah dan bukti, cup-cup ada cupnya. Teringat masa kecik-kecik telanjang bulat dulu main ‘toi’ depan rumah. Asyik cup saja. Yang cup itu memang kawan lebih tinggi.



Memang manusia tidak sunyi buat silap. Soalnya apakah orang yang atas lagi itu tak buat silapkah? Kalau dalam sistem penghakiman asyik pindah satu mahkamah ke satu mahkamah kemudian keputusannya dihempuk kepada hakim buat silap, haahhh, ini sistem injit-injit semut.

Barangkali kalau ada sepuluh mahkamah dalam sistem seperti sekarang ini, sembilan hakim tetap buat silap.

Ertinya yang kalah bukanlah salah.
Yang menang belum tentu benar.
Yang kalah kerana hakim buat silap.
Yang menang kerana hujah.

Kebenaran tersembunyi dalam hujah. Siapa yang pandai sembunyi kebenaran, berkuasa sorok kebenaran, maka menanglah yang tak benar.

Rasa-rasanya kemelut politik di negara kita dalam isu dan kes apapun, baik kes besar atau kecil, dari bunuh hingga curi telur ayam, kita bukan mencari kebenaran, tetapi kemenangan.

Mengenepikan kebenaran dalam sistem penghakiman, maka berlakulah ketidak adilan.

Apakah Tuhan tidak peduli?

Memang Tuhan tidak peduli pun politik macam ini. Buat menyemak fail malaikat.
Sayang, mahkamah akhirat lambat sangat. Bagaimana kalau Tuhan masih tidak peduli?

Jawab Hj. Pikun, tukang buat surat sumpah: Mana ada Mahkamah Tinggi, Rayuan dan Persekutuan di akhirat. Sebab itu Tuhan tak peduli.

(Sumber: Azizi Haji Abdullah)