Sunday, May 17, 2009
Anak mangsa ragut dijaga nenek
KAMPUNG KOK BEDULLAH - Lima anak mangsa ragut, Sharifah Mohd Noor, 33 yang maut ketika diragut di Kampung Padang Raja, Kota Bharu minggu lepas kini dijaga oleh nenek dan bekas suami mangsa.
Hasimah Husin, 55 berkata, dua anak arwah yang belum bersekolah, Nurul Akma Elisa Mat Zani, 6 dan Siti Najwa Mat Zani, 3 kini di bawah jagaannya manakala tiga lagi iaitu Nor Hidayu, 13 yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kandis, Bachok, Mohd Saifullah dan Mohd Syawal Nabil masing-masing belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Bachok dijaga oleh bapa mereka, Mat Zani Awang, 39.
Katanya, walau pun arwah anaknya pernah menyuarakan ingin menukarkan anaknya yang bersekolah di Bachok ke sekolah di daerah Tumpat tetapi memandangkan keadaannya yang tidak bekerja, tiga cucunya yang bersekolah dijaga bapanya.
“Memang arwah berhajat untuk tinggal dengan saya di rumah ini (di Kampung Kok Bedullah) setelah genap dua minggu mereka bercerai pada hari kemalangan itu berlaku tetapi nampaknya hajat arwah tidak kesampaian,” katanya.
Menurutnya, dalam kejadian tersebut, arwah ingin pulang ke Bachok untuk mengambil anak-anaknya bersekolah di Tumpat dan membawa wang tunai hanya RM5 sahaja.
“Wang tersebut arwah pinjam daripada rakannya dan wang tersebut diisi minyak motosikalnya sebanyak RM3 dan baki lagi hanya ada RM2 sahaja di dalam begnya itu tetapi diragut oleh manusia yang tidak berhati perut sehingga anak saya maut,” katanya.
Kata Hasimah, bagaimana pun dia reda dengan pemergian anaknya itu meskipun kehilangannya masih dirasai oleh keluarganya serta anak-anak arwah.
Sementara itu, bekas suami arwah, Mat Zani berkata, setelah kematian isterinya itu, dia akan tinggal bersama ibunya, Kalsom Saad yang tinggal di Kampung Kuala Jel, Repek, Bachok.
“Saya terpaksa tinggal bersama ibu memandangkan sukar untuk menguruskan anak-anak seorang diri sekiranya saya keluar bekerja nanti,” katanya yang bekerja sebagai buruh.
Menurutnya, dia cukup terkilan dengan pemergiannya isterinya kerana berhajat untuk rujuk kembali setelah genap dua minggu mereka bercerai disebabkan selisih faham dalam rumah tangga.
“Bagaimana hajat saya itu tidak kesampaian. Allah lebih menyayanginya dan kami anak beranak reda pemergiannya itu,” katanya
(sinar harian)